22 May 2009

JANGAN MONYET!!

SALAM SEJAHTERA

“Jangan Monyet, jangan. Nanti kau juga yang susah”, pesan sang Kancil kepada Monyet.

Monyet yang degil, terus mengendahkan amaran sang Kancil yang cuba membantu sahabatnya itu. Selang beberapa minit kemudian, terdengarlah jeritan sang Monyet yang kepedasan dek kedegilannya.

Mungkin anda pernah menonton animasi tersebut yang pernah disiarkan sekitar tahun 90-an. Cerita-cerita aminasi ini melanda stesyen Radio Televisyen Malaysia, RTM 1 dan RTM2. Pelbagai lagi cerita lain seperti Sang Kerbau dan Buaya dan Sang Kancil dan Buaya. Cerita-cerita ini memberi pengajaran kepada manusia supaya sentiasa berwaspada dalam kehidupan seharian kita serta bijak membuat keputusan dalam hidup.

Sasaran utama cerita-cerita begini adalah kepada si cilik kerana mereka menggemari cerita dalam bentuk animasi. Kanak-kanak yang suci mindanya diserap dengan nilai-nilai murni supaya mereka dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Mereka juga dilatih menjadi orang yang jujur dalam setiap perbuatan mereka.

Selain terhibur menonton keletah sang Kancil dan rakan-rakan, si cilik dapat mempelajari perkara baru yang bakal mengubah hidup mereka. “Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”. Jika minda kita diasak dengan perkara yang elok, tidak mustahil jika tak banyak, insyaAllah sikit yang kita perolehi.

Contoh yang relevan, apabila kita mengulangkaji pelajaran tidak semua yang kita baca mampu kita faham dan ingat. Mungkin hanya 70% hasil pembacaan, mungkin lebih dan mungkin kurang yang kita perolehi. Lebih baik ada dari tiada kerana ada yang sedikit itu begitu berharga berbanding sesuatu yang tiada. Rasional bukan?

Begitu juga orang dewasa, golongan ini wajar menonton rancangan seperti ini kerana ini dapat mengingatkan mereka tentang nilai murni, perkara yang mereka belajar suatu ketika dahulu. Manusia pada zaman ini sudah kehilangan “common sense”, nilai-nilai murni yang pernah diterapkan dalam diri mereka ini sudah mereka campak jauh, jauh ke dalam lubuk hati atau jauh ke dalam otak pemikiran. Istilah yang paling mudah untuk mengungkapkannya ialah “lupa”. Kita sudah melupakan amalan ini maka terhasillah manusia yang tinggal dalam satu komuniti tetapi tidak berkomunikasi dalam komuniti tersebut.

Amalan bertegur sapa di kalangan jiran, sudah berkurangan dan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sudah tidak wujud kerana mereka keluar pagi dan balik malam. Tiada masa untuk jiran-jiran. Hari-hari cuti digunakan sepenuhnya untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Jika dulu, jiran tetangga begitu akrab tidak lagi pada zaman ini. Jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.

Banyak lagi contoh lain yang boleh disenaraikan seperti amalan gotong-royong, membantu orang lebih tua dan menghormati orang lain. Ambil sedikit masa dan renungkan, adakah anda masih mengamalkan perkara-perkara ini? Jika ya, baguslah kerana nilai murni yang pernah diterapkan masih menebal dalam diri anda. Tahniah diucapkan. Jika tidak, renunglah sebentar, ke mana ilmu yang pernah dicurahkan oleh guru anda itu menghilang?

Kita masing-masing punya alasan untuk setiap perkara yang kita lakukan. Manusia memang kaya dengan alasan dan sangat pandai memberi alasan. Alasan-alasan inilah yang menyebabkan manusia semakin melupakan nilai-nilai murni dan mengabaikannya. Setiap perkara baik yang kita lakukan, insyaAllah akan dibalas baik. Lakukanlah kebaikan. Sebesar hama sekalipun kebaikan itu nescaya Allah pasti membalasnya.



..SUSU DIBALAS TUBA..

Buat baik berpada-pada,
Buat jahat dosa tanggung sendiri

15 May 2009

MANUSIA HEBAT DI SEKELILING KITA


ASSALAMUALAIKUM

Guru, ustaz atau ustazah, cikgu, sifu, teacher dan pelbagai lagi nama yang untuk menggelar kelompok manusia ini. Kelompok manusia ini, mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu kepada pelajar sama ada di pra sekolah, sekolah rendah dan menengah serta di politeknik, kolej mahupun universiti. Sedar atau tidak, mereka ini begitu berjasa kepada kita kerana jika dikira bertahun-tahun lamanya mereka mencurahkan khidmat bakti bermula dari usia seawal lima atau enam tahun.

Tegurnya tanda ingat, Marahnya tanda prihatin, rotannya tanda sayang itulah guru. Hasil tunjuk ajar guru seorang itu menjadi menteri, doktor, jurutera dan banyak lagi. Senaraikan saja pekerjaan yang anda lakukan sekarang, jika tak diajar ABC dan 123, membaca dan mengira, di mana agaknya anda sekarang? Menjawat jawatan tersebut? Dalam mimpi berkemungkinan untuk berlaku,kalau realiti itu hanya harapan.

Dimulai tunjuk ajar ditambah dengan kesabaran yang tinggi, kita dididik dan diasuh untuk mengenali huruf demi huruf kemudian perkataan bertukar menjadi ayat. Maka berjayalah kita untuk membaca dan memahami isi kandungan yang cuba dihadam.

Tanpa sikap prihatin bercampur usaha berterusan guru, tidak juga kita kenal nombor demi nombor dari satu hingga sembilan, operasi campur, tolak, darab dan bahagi. Benak kita diisi supaya kita tahu kemudian boleh mengaplikasikannya terutama sekali dalam kehidupan seharian.

Berkat usaha mereka inilah, kita berjaya mencapai cita-cita yang dipasang sejak dari kecil. Seharusnya kita berterima kasih kepada mereka ini. Curahan ilmu dan kasih sayang dilimpahkan bagai mendidik anak sendiri. Jika dulu guru tugasnya mendidik, sekarang tanggungjawab guru sudah semakin besar. Pelbagai beban yang perlu digalas bersesuaian dengan zaman yang berubah menuntut guru memainkan peranan yang lebih besar.

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Jika seseorang itu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, tidak ditanya siapa gurunya. Soalan yang meluncur keluar, Kamu anak siapa? Lantas mereka-mereka ini dihujani pujian-pujian. Tetapi, jika seseorang itu keputusan tidak memberangsangkan pasti ditanya siapa guru yang mengajar. Nescaya di cela guru, dengan alasan tidak pandai mengajar. Adilkah itu?

Jika dulu, guru bisa merotan pelajar kerana dengan cara itu anak didik yang disayangi dapat belajar menjadi insan yang berguna kemudian hari namun hari ini, jika guru mendenda pelajar, sudah pasti ibu bapa menyerang guru, melaporkan hal tersebut kepada pihak atasan dan macam-macam lagi. Pelajar sendiri begitu berani mencederakan gurunya. Adilkah itu?

Di rumah ibu bapa hanya mendidik tiga atau empat orang anak. Tetapi di sekolah setiap guru perlu mengawal 30 ke 40 pelajar. Lebih 10 kali ganda nisbah manusia yang perlu dikawal, dididik serta diasuh. Mereka yang tidak mengerit enak saja menyalahkan guru kerana tidak berjaya mengasuh anak mereka sehingga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Guru juga manusia, punya hati dan perasaan serta tahap kesabaran. Khilaf, sesuatu yang biasa pada semua manusia. Tiada yang terlepas. Semua orang melakukan kesalahan, guru juga tidak terlepas kerana guru juga manusia biasa yang berusaha luar biasa bagi memastikan anak didik menjadi insan berguna. Usahlah mereka ini dibebani dengan masalah tersebut, kerana mereka sendiri sudah punya cukup masalah.

Jika anda seorang doktor, jurutera, pelakon bahkan angkasawan, ingatlah suatu masa dahulu anda adalah seorang budak hingusan yang mendapat asuhan dari seorang manusia yang bergelar guru. Jika anda pelakon, guru juga boleh berlakon. Jika anda doktor, guru juga boleh menjadi doktor. Jika anda seorang usahawan, guru juga usahawan. Guru bisa menjadi apa saja dalam usaha mendidik anda yang akhirnya berjaya pada hari ini. Janganlah berasa riak kerana tanpa mereka ini, anda tidak akan ke mana-mana tanpa guru, bimbingan serta tunjuk ajar guru.


LAUNG AGUNG

Bersempena dengan hari guru, ku ucapkan “SELAMAT HARI GURU” kepada semua guru yang pernah mendidik diri ini tanpa rasa jemu kerana terkadang merasakan diri ini dungu kerana tak berjaya memahami ilmu yang diajar walhal rakan-rakan yang lain dengan mudah memahaminya. Tidak lupa kepada semua guru yang berada di luar sana. Jasa anda terlalu besar, hanya ALLAH mampu membalas jasamu wahai guru. Hanya ucapan “TERIMA KASIH” yang mampu kuucapkan. Jika dikira dengan wang ringgit sekalipun, nescaya tak mampu ku bayar. Allah..besarnya jasamu cikgu!!!! Semoga guru yang mencurahkan ilmu dengan ikhlas mendapat jannah di akhirat sana. AMEEN.

Jika tak diajar membaca, menulis dan mengira, sudah pasti cebisan ini tak mungkin terhasil. Aku buta huruf dan tak mampu berkongsi. TERIMA KASIH CIKGU!!

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

14 May 2009

Knowledge is Weapon



Ilmu..harta tidak ternilai harganya.

“Jangan malas, nanti kau yang rugi”, pesan ayah kepada saya.

“Jangan asyik nak tengok tv. Sudah, tutup tv. Pergi belajar!”, tegas ayah

Dialog-dialog berkenaan adalah contoh pesanan ayah kepada saya supaya saya tidak mengabaikan pelajaran dalam erti kata lain, memuliakan ilmu serta mendampinginya. Ayah tak pernah jemu mengingatkan saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan seringkali keputusan saya dipertikai kerana keputusan yang kurang memberangsangkan.

Ayat-ayat ayah tidak satu pun yang berbaur pujian, hanya kritikan demi kritikan yang menusuk kalbu hampir setiap kali yang keluar mulut ayah. Keputusan yang memberangsangkan juga tidak mengundang kemanisan, sekadar ucapan tahniah namun jika kegagalan rotan disediakan beserta dialog-dialog yang ayah reka khas bukan hanya saya untuk namun adik-beradik yang lain menerima nasib yang sama. Berterusanlah ini sehingga kami dewasa. Kekadang rasa menjengkelkan kerana setiap kali ditegur hampir sama ayat ayah. Ayat yang “makan dalam” terus menusuk kalbu.

Kini bila dewasa, baru saya faham rasional perbuatan ayah. Ayah tidak mahu anak-anak menerima nasib yang sama seperti ayah, tidak dapat meneruskan pelajaran kerana kekangan hidup yang melanda keluarga. Kemiskinan dan kedaifan yang meghantui keluarga ayah membataskan sehingga pelajaran di tolak ketepi. Cukup sekadar tahu membaca dan mengira. Selebihnya ayah menimba ilmu sendiri. Atas dasar “mahu” bukan kerana “terpaksa”.

Kesempitan hidup inilah yang menjadikan ayah seorang yang tegas dalam mendidik anak-ananknya supaya berjaya di kemudian hari kelak. Berkat usaha ayah dan doa yang dipanjatkan setiap kali selepas menunaikan solat tidak kira fardu atau sunat, ayah tidak pernah lupa menadah tangannya kepada Ar-Rab agar kehidupan kami sekeluarga akan bertambah baik.

Ilmu sangat penting kerana ilmu bakal mengubah nasib seseorang, sejauh mana tahap pelajarannya dan kelulusan yang terhasil melalui segulung ijazah. Mereka inilah yang bersengkang mata siang dan malam demi mendapatkan segulung kertas yang begitu berharga. Setiap kejayaan ini pastinya datang dengan usaha keras dan air mata.

Kata-kata hikmah seperti “Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China” dan “ Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad” menunjukkan kepentingan menuntut ilmu kerana ilmu itu sesuatu yang tidak akan habis. Semakin anda menambah ilmu, semakin pula terasa kurangnya. Semakin anda mendekatinya semakin terasa jauh. Begitulah ilmu.

Kekadang anda tidak perlu mentelaah berjam-berjam untuk menambah ilmu. Dengan pembacaan hanya 10 minit sudah cukup tetapi pastikan pembacaan itu bermakna, meresap ke dalam minda dan hati anda dengan konsep “faham” bukan “hafal”. Menghafal tidak menjamin kekuatan memori kerana fikrah manusia memang akan lupa dan terus lupa. Cukup dengan faham, kerana faham membuatkan kita ingat. Sekiranya lupa, kotak memori kita boleh mencari di data simpanan andai diperlukan kelak.

Berbeza dengan hafal, kerana hafal tidak menjanjikan apa-apa. Sekadar kepayahan yang diusahakan semata-mata untuk mengingati data buat beberapa ketika. Melalui penghafalan, data diproses dan disimpan dalam kotak memori. Memori yang dihafal hanya bertahan seketika jika dibandingkan dengan konsep faham. Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain bertepatan untuk menyamakan dengan ilmu, tak perlu banyak tapi bila dikumpul lama-lama jadi banyak. Begitulah ilmu, Kenapa tak percaya? Berapa lama anda sudah belajar dan berapa banyak input yang sudah anda proses menjadi ilmu? Banyak bukan?



Buku Seringkali Dikaitkan Dengan Ilmu

Jika disingkap kembali sirah Rasulullah S.A.W, ayat Al-Quran yang pertama turun melalui Jibril A.S ialah Iqra (Bacalah). Nabi Muhammad S.A.W didakap malaikat Jibril A.S lalu dibisikkan perkataan tersebut. Iqra (bacalah) dibisikkan beberapa kali lalu diulang Rasulullah S.A.W. Lihatlah betapa penting membaca yang berkati rapat dengan “ILMU”. Knowledge is power. Begitu gah ayat ini, hanya tiga perkataan tetapi mempunyai makna yang begitu besar dan mendalam. Jadi mengapa berlengah? Tambahlah ilmu kerana ilmu yang dituntut hadiahnya umpama serampang dua mata. Jika ilmu yang dituntut itu benar maka anda bakal mengetahui sesuatu yang baru dan mendapat pahala. Mudahnya menambah pahala. MasyaAllah.


Ilmu yang terdapat di alam semesta ini tidak terbatas banyaknya. Ilmu yang diajar atau ilmu yang diperolehi sendiri berdasarkan pengalaman pemilik. Rujuk saja di sekolah rendah baik menengah, sekolah agama atau pondok, universiti mahupun kolej-kolej, jika diperhati satu persatu, terlalu banyak yang diajar. Itu ilmu yang dicatat dan direkod. Yang tidak direkod pula bagaimana? Yang pasti, ilmu ini datang dari yang satu, Rabbul Jalil, Tuhan pencipta sekelian alam. Bertebaranlah di muka bumi untuk mendampingi ilmu agar kita menjadi manusia yang berguna di dunia dan di akhirat kelak, InsyaAllah.



"Al-Quran...Sumber rujukan yang mencakupi semua bidang ilmu"

11 May 2009

KENAPA SAYA SUKA RUMAH SAYA?



Bait atau rumah merupakan tempat kita manusia berteduh dari hujan dan panas. Itu adalah fungsi rumah dari pandangan mata kasar. Tempat manusia berehat, berteduh dari hujan serta mengelakkan kepanasan untuk menjamin keselesaan kita. Rumah sebenarnya ialah tempat di mana manusia mula belajar dan mengenal sesuatu. Dari sini jugalah tercipta komuniti kecil sebelum terciptanya komuniti yang lebih besar iaitu masyarakat dan seterusnya.

Belajar di sini bermaksud pendedahan yang diberikan ibu bapa kepada anak-anak. Kanak-kanak mula belajar seawal ia berusia sehari lagi. Menangis merupakan contoh bayi menunjukkan perasaan seperti lapar, tidak selesa dan pelbagai lagi. Apabila bayi itu membesar, ibu bapa mula mengajar anak tersebut untuk. Bermula dari perkataan kecil seperti ibu atau ayah sehinggalah kanak-kanak tersebut petah berbicara.

Hari demi hari, peranan rumah semakin bertambah bergandingan dengan tanggungjawab ibu bapa sebagai pendidik. Jika dulu, anak mula didedahkan dengan ABC di sekolah namun fenomena ini sudah berubah. Ibu bapa mengambil inisiatif untuk mengajar anak mereka. Ini berlaku di mana? Sudah pasti di rumah.

Jika anak-anak diterapkan dengan nilai murni sejak dari rumah mungkin kepincangan akhlak yang berlaku kepada remaja yang terlibat dengan gejala sosial dapat dielakkan. Berlakunya penegasan oleh ibu bapa yang menerapkan nilai murni seperti menghargai dengan ucapan terima kasih, menghormati orang lain dengan bercakap dengan nada yang sopan serta pelbagai lagi.

Penggubalan dan pelaksanaan undang-undang juga berlaku di rumah. Garis panduan mengenai sesuatu ditetapkan serta pelaksanaan dijalankan bagi tujuan penegasan. Jika seorang anak didapati bersalah maka hukuman seperti rotan cukup untuk menyedarkan mereka supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

Jelasnya, institusi kekeluargaan yang bermula dari rumah mempunyai peranan yang sangat besar dalam melahirkan individu yang bijak serta bermoral. Bijak dari segi pelajaran dan menyelesaikan sesuatu masalah kemudian bermoral iaitu menghormati orang lain serta tahu batasan yang telah ditetapkan agar nilai-nilai ketimuran dapat dikekalkan.

Namun begitu, kebanyakan rumah gagal melahirkan insan sedemikian rupa. Rumah sekadar rumah di mana ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Tugas mendidik anak kebanyakannya diserahkan kepada guru bulat-bulat. Anak yang dahagakan kasih sayang ini pasti menimbulkan masalah kerana mereka kurang perhatian. Ibu bapa keluar pagi dan balik malam. Masa untuk diluangkan bersama anak amat terhad. Anak-anak ini pasti memberontak kerana mereka tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Pabila meningkat remaja, mereka ini semakin liar kerana mereka telah “dididik” dengan cara tersebut (berdikari tanpa ibu bapa yang sibuk mencari rezeki). Mereka ini sudah muak dengan kehidupan di rumah dan cuba mencari keseronokan di luar. Anak-anak yang sedang mengalami perubahan dari segi hormon ini kuat sekali perasaan ingin tahu dan mencuba. Seharusnya mereka ini diterapkan dengan nilai murni supaya pegangan mereka ini bertambah kukuh.

Pengaruh rakan yang kuat, sangat menyumbang kepada peningkatan gejala yang tidak sihat seperti merokok, pergaulan bebas serta banyak lagi. Hal ini sangat membimbangkan kerana kes zina dan buang bayi sangat tinggi terutama sekali di kalangan remaja Melayu. Enak atau tidak didengar ini ialah realiti. Saban hari, kes-kes rogol meningkat, sumbang mahram dan pelbagai lagi berlaku. Lihat saja mengenai kes tersebut yang dilaporkan. Hampir saban hari, namun bagaimana yang ditidak dilaporkan? Tidakkah anda rasa di luar sana masih banyak kes sebegitu yang berlaku.

Jika “rumah” memainkan peranannya, InsyaAllah perkara ini dapat dikurangkan dan dikawal. Untuk menghentikannya adalah mustahil, namun mengurangkan adalah sesuatu yang cukup memberangsangkan. “Prevention is better than cure”, mencegah lebih baik dari merawat sekiranya kes-kes tersebut dapat dikurangkan. Anak-anak adalah bakal pewaris kita yang akan meneraju negara suatu hari kelak. Jika minda dan kelakuan mereka telah tercemar bagaimana pewaris ini bakal meneraju negara?



Jujur bukan jawapan yang diutarakan adik ini?

Kanak-kanak bersih hatinya, mereka tidak berbohong melainkan diterapkan dengan nilai itu. Kanak-kanak tidak mengerti apa-apa. Umpama kain putih, kesan kotoran yang terpalit adalah hasil daripada kegagalan “rumah” untuk mendidik mereka, mendidik mereka agar menjadi seorang manusia berguna di kemudian hari.

“BAITI JANNATI...RUMAHKU SYURGAKU”

07 May 2009

PUJI...DIPUJI..TERPUJI..MEMUJI



“Awak nampak cantikla hari ni”, puji seorang lelaki kepada seorang gadis. Gadis itu tersipu-sipu malu mendengar pujian tersebut.

“Kau memang hebat. Kalau kau tak ada team kita kalah tadi”, seorang sahabat menyatakannya. Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya melalui senyuman yang meleret sehingga ke telinga.

Semua orang suka dipuji kerana pujian lahir dari dalam hati seseorang yang ikhlas menyatakannya sebagai tanda penghargaan, pengikitirafan dan juga ganjaran dalam bentuk kata-kata atau ucapan. Pujian selalunya diberikan apabila seorang itu berjaya dalam sesuatu percubaan atau menyatakan kelebihan seseorang itu seperti kecantikan dan kepandaian.

Tidak kurang juga ada orang yang “memuji” untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap orang yang dipuji. Orang Melayu terkenal dengan kata kiasan, kaum yang dikenali dengan sifat lemah lembut bahkan apabila hendak menyampaikan sesuatu yang kurang elok, bahasa yang digunakan juga elok bagi menjaga hati penerima. Bagi orang yang mendengarnya, dan “faham bahasa” mereka faham perkara yang ingin disampaikan.

Pujian atau lebih dikenali sebagai rangsangan sangat baik kerana mereka yang dipuji ini lebih bersemangat untuk menjadi serta menghasilkan yang terbaik. Apabila anda dipuji rakan oleh kerana kepandaian, sudah pasti anda akan cuba mengekalkannya kerana pujian yang diterima sungguh indah.

Sekiranya anda melakukan kesalahan, mungkin ada yang akan menegur kesilapan itu dengan harapan ada perubahan yang berlaku. Teguran seperti ini baik kerana, orang seperti inilah orang yang jujur yang cuba menyelamatkan anda dari melakukan kesilapan yang sama berulang kali.



MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH..PENGHARGAAN DAN PENGIKITIRAFAN

Contohnya, apabila mendapat tempat pertama dalam peperiksaan, ibu bapa dan juga pihak sekolah akan mengiktiraf usaha anda seperti majlis penyampaian hadiah dan mungkin juga saguhati dalam bentuk wang ringgit bagi menghargai usaha anda. Kesan daripada itu, anda akan mencuba bersungguh apabila menduduki peperiksaan agar terus-terusan mendapat ganjaran. Ini dipanggil ganjaran luaran atau “Extrinsic reward” berupa hadiah, wang ringgit atau sesuatu yang berbentuk nyata.

Ganjaran seperti pujian atau “Intrinsic rewards” ini lahir dari ucapan, ucapan yang mencetuskan perasaan gembira akibat dari penghargaan tersebut. Kesannya sama seperti contoh di atas tetapi ganjaran ini tiada bentuk nyata, sekadar sepotong ayat.

Kadang-kadang anda mungkin dengar ini,

“Kembang kuncup hidung dia kena puji tadi”, gurau seorang teman.

“Senyum sampai ke telinga kau kena puji dengan cikgu tadi”, ucap Ali stambil menepuk bahu rakannya itu.

Rangsangan seperti ini kadangkala lebih baik dari rangsangan kerana kata-kata sudah cukup membuatkan seseorang itu rasa dihargai. Indah benar rasanya dipuji ibu bapa, guru serta sahabat handai.

Namun harus diingat, jangan terlalu lena dengan pujian kerana berbakul-bakul pujian yang diterima akan mendatangkan rasa sombong dan bongkak. Manusia yang sememangnya terkenal dengan sifat mudah lupa diri mengakibatkan anda tidak disenangi orang lain. Perangai anda berubah, orang sekeliling mula menjauhi anda. Mereka memulaukan anda. Adakah ini perkembangan yang sihat?


Tidak salah memuji tetapi perlu diingat, yang benar-benar layak di puji hanyalah Ar-Rahman, Tuhan sekelian alam. Allah yang sesungguhnya diketahui dengan segala sifat yang baik sewajarnya dipuji. Mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan maka lahirlah pujian melalui ucapan seperti Subhanallah (Maha suci Allah), Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), pengiktirafan dengan ucapan (Allah maha besar) serta banyak lagi.

Yang layak dipuji hanya Allah, manusia yang dicipta ini adalah untuk memakmurkan bumi Allah serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Pujian yang anda terima tidak menjamin tiket anda di kemudian hari kelak. Matlamat kita hanya ialah mencari keredhaan Allah seterusnya dikurnia JANNAH (syurga).

“JANGAN TERLALU LENA DENGAN PUJIAN KERANA PUJIAN MUNGKIN MEMAKAN DIRI”

05 May 2009

KALAU... BETAPA BERKUASANYA PERKATAAN INI.

SALAM SEJAHTERA

" Kalaulah hidup ini semudah yang kita rancang "


Dalam perbendaharaan kata bahasa ibunda kita, Bahasa Melayu, perkataan seperti jika, kalau dan sekiranya merupakan penyambung ayat yang sering digunakan dalam pembinaan ayat . Perkataan tersebut lazimnya diguna pakai agar maksud yang hendak ditonjolkan di dalam ayat tercapai bersesuaian dengan kehendak si pembina ayat. Kebiasaannya, perkataan ini digunakan sebagai penyedap ayat.

Contoh:

“Aku pasti menang kalau aku tak jatuh masa berlari tadi”, keluh Faizal dalam nada kecewa

Perkataan “kalau di situ merujuk kepada situasi yang boleh berlaku, mungkin terjadi sekiranya tiada kesilapan yang berlaku. Perkataan tersebut juga seringkali kita gunakan dalam perbualan harian kita. Sesuatu yang menjadikan perbualan harian kita lebih rancak dengan adanya perkataan seperti KALAU, JIKA, MUNGKIN dan banyak lagi yang berupaya menjadikan sesuatu yang tidak pasti menjadi kenyataan.

Kalau aku kaya, macam-macam benda aku boleh beli”, ujar Norman kepada Karim.

Kalau aku lambat sikit tadi mesti aku tak jatuh kat simpang tadi”, keluh Abu dalam nada kesal.

Kalau aku rajin belajar mesti aku dah jadi doktor sekarang”, luah Halim.

Perkataan kalau ini sebenarnya mempunyai impak yang sangat besar dalam kehidupan kita. Lihat saja contoh di atas. Ada di antaranya, angan-angan, kekesalan yang berlaku dan pelbagai lagi. Semuanya dari perkataan kalau yang terpacul secara automatik apabila kita menuturkan kata. Perkataan yang sangat mudah mempunyai dua suku kata iaitu “KA dan Lau” menghasilkan 1001 makna.

Contoh yang agak ekstrem:

“Kalau nak cerita pasal kalau, kepala kereta api pun boleh buat lauk”, ujar seorang teman saya ketika sedang rancak berbicara.

Saya juga sering menggunakan perkataan Kalau itu di mana perkataan tersebut hanyalah sekadar penyedap ayat dan jarang-jarang kita dapat merealisasikannya. Manusia dan impian mereka yang tinggi menggunung. Sukar dicapai tetapi masih bisa dibayangkan. Seronok bukan membayangkan sesuatu yang menyenangkan?

Hebat bukan? Tetapi itulah realiti perkataan KALAU. Bayangkan jika perkataan ini tiba-tiba luput dari perbendaharaan kata kita. Sudah pasti ayat-ayat yang terhasil tergantung. Tiada lagi perkara yang perkara yang terawang-awang, antara pasti dengan tidak. Semuanya berlaku. Tiada rasa kekesalan kerana kita tidak mampu melahirkan rasa sesal kerana ketidak wujudan perkataan tersebut.

Hanya dengan sekecil-kecil perkataan, pelbagai benda boleh dihasilkan melalui imaginasi manusia. Betapa besarnya kuasa Allah yang menciptakan bumi dan alam semesta, manusia daripada tanah dan dikurniakan akal fikiran. Dari situlah terhasilnya bahasa Melayu dan juga perkataan KALAU.

Jika digunakan air lautan sebanyak tujuh lautan nescaya masih tidak cukup untuk mencatat segala ilmu Allah. Betapa hebatnya dan terlalu tinggi untuk jangkauan kita. Kita jika mendengar kuliah atau belajar lebih dari sejam pun sudah hilang fokus, mungkin lebih awal dari itu. 15 minit pertama saja fokus, kemudian entah melayang ke mana.

Gunakan pula perkataan kalau.

“Kalau aku hebat mesti aku tak payah datang kelas, datang je exam. Mesti boleh jawap lepas tu skor exam”

Nah, begitu hebatnya perkataan kalau. Fikir-fikirkanlah. Hehe

SAYANGI BAHASA KITA, BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA

03 May 2009

Marah Betul


ASSALAMUALAIKUM W.B.T...SALAM SEJAHTERA


“Celaka betul dia ni, berani dia tipu aku!”, bentak Leman. Dia terus-terusan menghamburkan kata-kata kesat akibat terlalu MARAH kerna ditipu sahabat baiknya yang telah berjanji untuk melunaskan hutang.

Lima bulan sebelum itu, sedang Leman duduk di serambi rumah sambil menghirup secawan kopi panas sekembalinya dari pejabat dia didatangi Ali, sahabat baik sejak di bangku persekolahan. Mereka berdua digelar belangkas di sekolah ke mana sering dilihat berdua ke mana saja.

Selepas memberi salam dan duduk bersila, Ali memulakan bicara.

“Man, aku sebenarnya datang ada hajat sikitlah”, suara Ali agak perlahan tapi masih dapat didengari Leman.

“Kenapa beb? Ada problemke?”, Leman bertanya untuk mendapatkan kepastian setelah dilihat riak wajah Ali yang menggambarkan 1001 persoalan.

“Macam ni, aku sebenarnya short duit sikit lepas tu kereta aku buat hal”, terang Ali.

“Aku datang ni nak pinjam duit kau, tu pun kalau kau tak keberatanla”, Ali meneruskan bicara sambil mengharapkan jawapan.

Leman bersetuju untuk meminjamkan wangnya kepada Ali. Memandangkan mereka teman yang akrab, Leman tidak tergamak untuk mengatakan tidak kepada Ali. Umpama isi dengan kuku, begitulah keakraban mereka berdua yang telah terjalin sejak sekian lama.

Namun, pada hari ini Leman tidak dapat menahan kemarahannya. Ali hilang entah ke mana. Puas sudah dihubungi namun tak pernah berjawap. Ke rumah sudah, ke pejabat pun sudah. Namun hasilnya tetap sama, Ali tidak dapat dijejaki.

Marah, perkara yang sangat subjektif untuk dibincangkan kerana manusia yang marah ini pelbagai gayanya. Ada yang diam saja, ada yang memaki hamun tak kurang juga yang menggunakan kekerasan bagi menghilangkan rasa marah. Tanyalah sesiapa saja di sekeliling anda, sesiapakah di antara mereka yang senang apabila ditipu dan rasa gembira bila mendapat tahu mereka ditipu. Sudah pasti jawapannya tidak!!

Marah adalah ekspresi yang terjadi secara spontan apabila seseorang itu tersepit dalam situasi seperti. Mereka ini cuba melepaskan diri dari tekanan tersebut dengan marah. Biasanya orang akan rasa lebih tenang selepas melepaskan api kemarahan mereka.

Kadangkala ada orang yang marah selama berhari-hari dan ada juga yang mengambil masa yang singkat untuk pulih seperti sediakala. Anda orang yang bagaimana? Fikir-fikirkanlah. Andai anda orang mudah sejuk itu sangat bagus! Jika anda orang yang mengambil masa yang lama untuk pulih, anda sebenarnya berada di zon bahaya kerana saya pernah melihat sebuah rancangan televisyen berbentuk motivasi dan penceramahnya ialah Dato Fadzilah Kamsah. Antara perkara yang disentuh mengenai marah dan berikut merupakan pesanan beliau:

“Manusia normal akan marah hanya empat minit. Kalau lebih dari empat minit sebenarnya hasutan syaitan”

Jadi kepada sesiapa yang panas baran dan mudah sangat marah, ingatlah pesanan Pakar motivasi tersebut. Tiada guna untuk marah-marah seperti orang hilang akal. Benda yang telah terjadi tidak boleh diulang semula. Kita tak punya mesin merentas masa seperti dalam siri Doraemon yang membolehkan kita kembali ke masa lepas. Jika tidak sudah tentu sejarah dunia cantik dan elok belaka.

Tiada Perang Dunia mahupun serangan ke atas bumi Iraq. Tiada wabak seperti selsema burung dan juga selsema khinzir. Banyak lagi kesilapan dan kegagalan manusia dapat diperbetulkan sekiranya mesin tersebut tercipta. Semua perkara yang mengundang kemarahan manusia dapat diredakan dan diperbetulkan

Namun semua itu hanya khayalan. Umpama angan si Mat Jenin yang tidak mendatangkan apa-apa hasil. Marahlah sepuas hati tidak juga mendatangkan hasil, Nasi sudah menjadi bubur.

Cuba kawal kemarahan kita kerana “tukang hasut” sangat menggemari golongan seperti ini. Mereka bersorak keriangan kerana kita tergolong bersama mereka. Cuba kawal panas baran anda, sifat marah anda.

Tips untuk mengawal marah:

  1. Ingat pernyataan di atas, Manusia normal hanya marah selama 4 minit
  2. Jauhkan diri daripada orang lain kerana mereka mungkin menjadi sasaran anda melepaskan api kemarahan
  3. Diam dan beristigfar supaya hati menjadi “sejuk”
  4. Jika tidak berkesan ambil wuduk dan mengaji, dapat menyejukkan hati yang terbakar dan mudah-mudahan mendapat pahala.

Ini merupakan salah satu dari ribuan cara untuk membendung kemarahan. Jika anda ada tips untuk mengawal marah silalah berkongsi. Tinggalkan komen bersama tips anda mengawal kemarahan. Semoga kita mendapat manfaat darinya =).

“Sharing is Caring..Berkongsi itu indah”