11 May 2009

KENAPA SAYA SUKA RUMAH SAYA?



Bait atau rumah merupakan tempat kita manusia berteduh dari hujan dan panas. Itu adalah fungsi rumah dari pandangan mata kasar. Tempat manusia berehat, berteduh dari hujan serta mengelakkan kepanasan untuk menjamin keselesaan kita. Rumah sebenarnya ialah tempat di mana manusia mula belajar dan mengenal sesuatu. Dari sini jugalah tercipta komuniti kecil sebelum terciptanya komuniti yang lebih besar iaitu masyarakat dan seterusnya.

Belajar di sini bermaksud pendedahan yang diberikan ibu bapa kepada anak-anak. Kanak-kanak mula belajar seawal ia berusia sehari lagi. Menangis merupakan contoh bayi menunjukkan perasaan seperti lapar, tidak selesa dan pelbagai lagi. Apabila bayi itu membesar, ibu bapa mula mengajar anak tersebut untuk. Bermula dari perkataan kecil seperti ibu atau ayah sehinggalah kanak-kanak tersebut petah berbicara.

Hari demi hari, peranan rumah semakin bertambah bergandingan dengan tanggungjawab ibu bapa sebagai pendidik. Jika dulu, anak mula didedahkan dengan ABC di sekolah namun fenomena ini sudah berubah. Ibu bapa mengambil inisiatif untuk mengajar anak mereka. Ini berlaku di mana? Sudah pasti di rumah.

Jika anak-anak diterapkan dengan nilai murni sejak dari rumah mungkin kepincangan akhlak yang berlaku kepada remaja yang terlibat dengan gejala sosial dapat dielakkan. Berlakunya penegasan oleh ibu bapa yang menerapkan nilai murni seperti menghargai dengan ucapan terima kasih, menghormati orang lain dengan bercakap dengan nada yang sopan serta pelbagai lagi.

Penggubalan dan pelaksanaan undang-undang juga berlaku di rumah. Garis panduan mengenai sesuatu ditetapkan serta pelaksanaan dijalankan bagi tujuan penegasan. Jika seorang anak didapati bersalah maka hukuman seperti rotan cukup untuk menyedarkan mereka supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

Jelasnya, institusi kekeluargaan yang bermula dari rumah mempunyai peranan yang sangat besar dalam melahirkan individu yang bijak serta bermoral. Bijak dari segi pelajaran dan menyelesaikan sesuatu masalah kemudian bermoral iaitu menghormati orang lain serta tahu batasan yang telah ditetapkan agar nilai-nilai ketimuran dapat dikekalkan.

Namun begitu, kebanyakan rumah gagal melahirkan insan sedemikian rupa. Rumah sekadar rumah di mana ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Tugas mendidik anak kebanyakannya diserahkan kepada guru bulat-bulat. Anak yang dahagakan kasih sayang ini pasti menimbulkan masalah kerana mereka kurang perhatian. Ibu bapa keluar pagi dan balik malam. Masa untuk diluangkan bersama anak amat terhad. Anak-anak ini pasti memberontak kerana mereka tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Pabila meningkat remaja, mereka ini semakin liar kerana mereka telah “dididik” dengan cara tersebut (berdikari tanpa ibu bapa yang sibuk mencari rezeki). Mereka ini sudah muak dengan kehidupan di rumah dan cuba mencari keseronokan di luar. Anak-anak yang sedang mengalami perubahan dari segi hormon ini kuat sekali perasaan ingin tahu dan mencuba. Seharusnya mereka ini diterapkan dengan nilai murni supaya pegangan mereka ini bertambah kukuh.

Pengaruh rakan yang kuat, sangat menyumbang kepada peningkatan gejala yang tidak sihat seperti merokok, pergaulan bebas serta banyak lagi. Hal ini sangat membimbangkan kerana kes zina dan buang bayi sangat tinggi terutama sekali di kalangan remaja Melayu. Enak atau tidak didengar ini ialah realiti. Saban hari, kes-kes rogol meningkat, sumbang mahram dan pelbagai lagi berlaku. Lihat saja mengenai kes tersebut yang dilaporkan. Hampir saban hari, namun bagaimana yang ditidak dilaporkan? Tidakkah anda rasa di luar sana masih banyak kes sebegitu yang berlaku.

Jika “rumah” memainkan peranannya, InsyaAllah perkara ini dapat dikurangkan dan dikawal. Untuk menghentikannya adalah mustahil, namun mengurangkan adalah sesuatu yang cukup memberangsangkan. “Prevention is better than cure”, mencegah lebih baik dari merawat sekiranya kes-kes tersebut dapat dikurangkan. Anak-anak adalah bakal pewaris kita yang akan meneraju negara suatu hari kelak. Jika minda dan kelakuan mereka telah tercemar bagaimana pewaris ini bakal meneraju negara?



Jujur bukan jawapan yang diutarakan adik ini?

Kanak-kanak bersih hatinya, mereka tidak berbohong melainkan diterapkan dengan nilai itu. Kanak-kanak tidak mengerti apa-apa. Umpama kain putih, kesan kotoran yang terpalit adalah hasil daripada kegagalan “rumah” untuk mendidik mereka, mendidik mereka agar menjadi seorang manusia berguna di kemudian hari.

“BAITI JANNATI...RUMAHKU SYURGAKU”

No comments:

Post a Comment