07 May 2009

PUJI...DIPUJI..TERPUJI..MEMUJI



“Awak nampak cantikla hari ni”, puji seorang lelaki kepada seorang gadis. Gadis itu tersipu-sipu malu mendengar pujian tersebut.

“Kau memang hebat. Kalau kau tak ada team kita kalah tadi”, seorang sahabat menyatakannya. Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya melalui senyuman yang meleret sehingga ke telinga.

Semua orang suka dipuji kerana pujian lahir dari dalam hati seseorang yang ikhlas menyatakannya sebagai tanda penghargaan, pengikitirafan dan juga ganjaran dalam bentuk kata-kata atau ucapan. Pujian selalunya diberikan apabila seorang itu berjaya dalam sesuatu percubaan atau menyatakan kelebihan seseorang itu seperti kecantikan dan kepandaian.

Tidak kurang juga ada orang yang “memuji” untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap orang yang dipuji. Orang Melayu terkenal dengan kata kiasan, kaum yang dikenali dengan sifat lemah lembut bahkan apabila hendak menyampaikan sesuatu yang kurang elok, bahasa yang digunakan juga elok bagi menjaga hati penerima. Bagi orang yang mendengarnya, dan “faham bahasa” mereka faham perkara yang ingin disampaikan.

Pujian atau lebih dikenali sebagai rangsangan sangat baik kerana mereka yang dipuji ini lebih bersemangat untuk menjadi serta menghasilkan yang terbaik. Apabila anda dipuji rakan oleh kerana kepandaian, sudah pasti anda akan cuba mengekalkannya kerana pujian yang diterima sungguh indah.

Sekiranya anda melakukan kesalahan, mungkin ada yang akan menegur kesilapan itu dengan harapan ada perubahan yang berlaku. Teguran seperti ini baik kerana, orang seperti inilah orang yang jujur yang cuba menyelamatkan anda dari melakukan kesilapan yang sama berulang kali.



MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH..PENGHARGAAN DAN PENGIKITIRAFAN

Contohnya, apabila mendapat tempat pertama dalam peperiksaan, ibu bapa dan juga pihak sekolah akan mengiktiraf usaha anda seperti majlis penyampaian hadiah dan mungkin juga saguhati dalam bentuk wang ringgit bagi menghargai usaha anda. Kesan daripada itu, anda akan mencuba bersungguh apabila menduduki peperiksaan agar terus-terusan mendapat ganjaran. Ini dipanggil ganjaran luaran atau “Extrinsic reward” berupa hadiah, wang ringgit atau sesuatu yang berbentuk nyata.

Ganjaran seperti pujian atau “Intrinsic rewards” ini lahir dari ucapan, ucapan yang mencetuskan perasaan gembira akibat dari penghargaan tersebut. Kesannya sama seperti contoh di atas tetapi ganjaran ini tiada bentuk nyata, sekadar sepotong ayat.

Kadang-kadang anda mungkin dengar ini,

“Kembang kuncup hidung dia kena puji tadi”, gurau seorang teman.

“Senyum sampai ke telinga kau kena puji dengan cikgu tadi”, ucap Ali stambil menepuk bahu rakannya itu.

Rangsangan seperti ini kadangkala lebih baik dari rangsangan kerana kata-kata sudah cukup membuatkan seseorang itu rasa dihargai. Indah benar rasanya dipuji ibu bapa, guru serta sahabat handai.

Namun harus diingat, jangan terlalu lena dengan pujian kerana berbakul-bakul pujian yang diterima akan mendatangkan rasa sombong dan bongkak. Manusia yang sememangnya terkenal dengan sifat mudah lupa diri mengakibatkan anda tidak disenangi orang lain. Perangai anda berubah, orang sekeliling mula menjauhi anda. Mereka memulaukan anda. Adakah ini perkembangan yang sihat?


Tidak salah memuji tetapi perlu diingat, yang benar-benar layak di puji hanyalah Ar-Rahman, Tuhan sekelian alam. Allah yang sesungguhnya diketahui dengan segala sifat yang baik sewajarnya dipuji. Mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan maka lahirlah pujian melalui ucapan seperti Subhanallah (Maha suci Allah), Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), pengiktirafan dengan ucapan (Allah maha besar) serta banyak lagi.

Yang layak dipuji hanya Allah, manusia yang dicipta ini adalah untuk memakmurkan bumi Allah serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Pujian yang anda terima tidak menjamin tiket anda di kemudian hari kelak. Matlamat kita hanya ialah mencari keredhaan Allah seterusnya dikurnia JANNAH (syurga).

“JANGAN TERLALU LENA DENGAN PUJIAN KERANA PUJIAN MUNGKIN MEMAKAN DIRI”

No comments:

Post a Comment