30 July 2009

PILIHAN

ASSALAMUALAIKUM



KIRI ATAU KANAN..TERSERAH ANDA..PILIHAN MASING-MASING

Manusia terpaksa membuat pilihan dalam kehidupan seperti belajar, bekerja dan banyak lagi perkara yang melibatkan perjalanan hidup kita di alam tumpangan kita ini. Rata-rata semua orang memilih dalam kehidupan mereka. Jika dilihat dari sudut yang kecil, sewaktu makan manusia juga memilih. Ada yang tidak tahan pedas, ada yang suka makanan bersantan serta macam-macam lagi pilihan manusia. Pilihan inilah yang menambah rasa nikmat sewaktu makan. Pilihan yang dilakukan memuaskan hati empunya badan.

Dalam hidup ini terlalu banyak pilihan yang perlu kita lakukan. Kadangkala pilihan itu kita suka dan ada juga yang tidak. Kadang-kadang kita boleh memilih dan kadang-kadang kita terpaksa memilih. Pilihan yang kita lakukan mungkin benar dan mungkin ada yang salah. Kita manusia dan kita senantiasa melakukan kesilapan. Tidak salah jika pilihan itu tidak seperti yang kita harapkan asalkan kita belajar sesuatu daripadanya.

Kita gembira dengan pilihan kita. Kita juga sedih setelah memilih sesuatu. Namun yang pasti kita akan dan terpaksa memilih. Pilihan-pilihan inilah yang mendewasakan kita serta mematangkan kita. Tiada manusia yang sempurna dan melakukan kesilapan kadangkala sangat bagus kerana pengajaran yang diperolehi bakal membantu kita di masa akan datang. Kita bukan robot yang boleh diprogram sesuka hati dan menurut segala yang diarahkan.

Manusia punya perasaan, perasaan yang membezakan kita dengan robot. Melalui perasaan inilah lahir sifat seperti menurut dan memberontak. Menurut bererti kita akur dengan pilihan kita yang mendatangkan rasa senang kepada diri kita. Memberontak melambangkan kita tidak selesa dengan pilihan tersebut mengakibatkan rasa marah dan sedih. Kedua-dua ini besar kesannya ke atas diri kita.

Tapi, dalam membuat pilihan kita punya komuniti yang boleh dan sedia membantu. Rakan, ibu bapa, adik-beradik serta orang perseorangan yang kita percayai boleh membantu kita dalam membuat pilihan. Kita selalu dilema dalam melakukan sesuatu pilihan. Mereka inilah yang membantu kita dalam membuat pilihan agar pilihan kita lebih tepat dan mencetuskan rasa senang kepada diri kita. Jangan terlalu mengikut hati kerana ikut hati akibatnya mati. Mati bukan bermakna kita meninggal dunia tapi mati di sini bakal mendatangkan rasa sesal kepada kita.

“Berkongsilah kerana berkongsi dapat meringankan beban dan membantu kita agar lebih rasional dalam membuat pilihan. Pilihlah kerana sesungguhnya kita sentiasa diberi pilihan”

25 July 2009

KAYA....HARTA ATAU HATI?


Jumaat lepas, khutbah Jumaat yang disampaikan Khatib terasa berkesan penyampaiannya. Berkenaan kekayaan, kaya bukan dari segi jumlah wang ringgit yang kita ada tetapi kekayaan hati kita. Isi yang ringkas namun padat dengan pengajaran yang boleh merubah kita.

Memang tidak dapat dinafikan wang ringgit dan harta benda begitu penting dalam kehidupan seharian kita. Tanpa wang ringgit, kita terbatas dari melakukan sesuatu perkara kerana hampir semua benda yang kita lakukan perlukan bayaran. Tiada lagi istilah percuma di zaman ini maka wang ringgit sangat perlu.

Menjadi lumrah manusia yang suka kepada kesenangan maka kekayaan juga mungkin menjadi aspek yang sangat dititik beratkan oleh seseorang. Dengan kesenangan yang ada, kita akan rasa selesa dengan kehidupan yang kita lalui. Lihat saja di luar sana, betapa ramai orang yang terpaksa meminjam dari ceti haram, “ah long” kerana kesempitan wang. Mereka ini begitu terdesak sehingga sanggup untuk berhutang dengan golongan ini walhal kesan dan akibat yang telah diketahui bakal menimpa mereka jika tidak dapat melunaskan hutang kemudian hari kelak.

Jika terlalu dilimpahi kekayaan mungkin juga kita manusia bakal lupa kepada Pencipta. Lupa yang bakal mendatangkan 1001 masalah di kemudian hari kelak. Lupa kepada ibadah, tanggungjawab kepada mereka yang kurang bernasib baik, zakat dan banyak lagi. Manusia mudah lupa tatkala senang dan mula kembali ingat pabila teruji. Betapa hebatnya kuasa kesenangan. Kita lalai dengan tanggungjawab sedia ada kita.

Jika kaya hati, insyaAllah hidup kita akan senang walaupun tidak sesenang seorang jutawan. Kerana kita akan sentiasa istiqamah, akan sentiasa ingat. Hati dipenuhi rasa syukur dengan segala limpah kurnia Ilahi. “Lebih besar periuk, lebih banyak keraknya”, peribahasa orang dulu-dulu yang menyatakan sifat manusia. Sekiranya kita mempunyai RM100 jaidi kita akan berbelanja nilai setara dengan nilai itu tetapi jika mempunyai RM20 adalah agak mustahil untik kita berbelanja lebih. Kita tetap berbelanja cuma cara pengurusan itu berbeza mengikut kemampuan kita. Mungkin lebih senang jika diungkap, “Ukurlah baju sendiri” di mana kita bertindak atas kemampuan diri kita, senantiasa muhasabah agar kita tahu perkara terbaik untuk diri kita.

Kaya hati juga merujuk kepada sikap kita, reaksi kita apabila menghadapi sesuatu. Tatkala ditimpa kesusahan, pabila kita diuji, semasa melayan kerenah manusia yang tidak pernah rasa puas. Kita akan tenang apabila menghadapi situasi seperti ini kerana kita tenang dan rasional, buah fikiran yang terhasil juga bernas. Jika miskin hati kita, segala apa yang datang bakal dianggap sebagai musibah dan kecelakaan. Kita rimas dengan situasi yang timbul dan mengambil jalan mudah.

Bagi mereka yang kaya hatinya, masalah akan sentiasa ada solusi tersendiri dan masalah itu juga dilihat sebagai peluang. Tidak keterlaluan jika digelar “rangsangan sihat” kerana secara tidak langsung kita dilatih menjadi seorang yang tenang dalam apa jua keadaan yang menimpa kita, insyaAllah. Manusia dikurniakan akal yang bergandingan dengan hati, namun terlalu mengikut kata hati juga bakal menyusahkan kita. “Ikut hati mati”.. Seimbangkan antara akal dan hati kerana kedua-dua ini merupakan raja dan permaisuri bagi kita, iaitu pentadbir kita.

Terangkan hati kita dan kayakan ia dengan segala perkara yang baik nescaya kita bakal menjadi kaya, bukan kaya harta tetapi hati yang dipenuhi dengan rasa syukur, istiqamah dan bersangka baik. Hati yang kaya boleh memimpin kita ke arah kebaikan namun harta yang banyak belum tentu dapat mendorong dan memberi panduan kepada kita.

19 July 2009

PELUANG

SALAM

“Give me another chance, I’ll get you the contract” ujar Zack dengan sungguh-sungguh cuba meyakinkan majikannya.

“Tolonglah beri saya peluang, saya akan cuba berubah”, pinta lelaki itu. Sayu suaranya menggambarkan kesungguhan yang dimiliknya.

Setiap dari kita tidak pernah lepas dari melakukan khilaf kerana kita manusia biasa yang terkadang tersilap dalam perhitungan yang kita rencanakan. Hanya satu yang dapat diutarakan iaitu tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Yang sempurna hanyalah Pemerintah sekelian alam ini, Allah S.W.T. SempurnaNya tiada tolok bandingan.

Tetapi kita manusia, demi masa sesungguhnya setiap saat pasti ada yang melakukan kesilapan dan kesalahan dari segi perbuatan mahupun kata-kata. Kadangkala kita sedar kita melakukan kesilapan lantas mengambil jalan untuk mengubahnya. Banyak pula yang melakukan kesilapan tetapi masih juga alpa. Manusia itu tidak sama. Acuannya berbeza. Dari rupa, rambut, susuk tubuh sehinggalah kepada perilakunya berbeza. Jika manusia itu robot yang boleh dikawal semaksimum mungkin, insyaAllah minimumlah kekhilafan yang bakal berlaku.

Namun kesilapan yang dilakukan kadangkala sangat besar, terlalu besar untuk dimaafkan, diperbetulkan serta diselesaikan. Lantas ada yang menghukum bagi kesilapan yang berlaku. Sesetengah memang wajar dihukum kerana khilaf itu terlalu besar dan terlalu berat untuk orang lain menerimanya. Tidak terlepas mereka yang melakukan kesilapan tetapi tidaklah terlalu besar kesilapan itu tetapi masih juga meninggalkan kesan dan bekas.

Bukankah semua orang layak untuk mendapat peluang? Insan yang mencabuli haknya terhadap Pencipta adalah berdosa. Akan tetapi Pencipta kita Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sekiranya kita melakukan kesalahan kepadaNya segeralah memohon keampunan agar khilaf itu diampunkan. Dengan erti kata lain bertaubat. InsyaAllah rayuan kita pasti didengari. Bagaimana pula jika salah itu dengan manusia? Wajarkah manusia itu terus-terusan dihukum dan tidak dimaafkan? Bukankah lebih baik sekiranya kita diberi peluang? Peluang kedua barangkali untuk menebus khilafnya. Manusia itu punya satu sifat, sifat menyesali sesuatu perbuatan yang telah terjadi. Akan tetapi ramai juga yang keras hati dan tidak mahu berubah. Bagi yang menyesal kemungkinan besar mereka mahu berubah, mereka akan cuba berubah dan akhirnya mereka berjaya berubah, semua itu tidak mustahil.

SESALAN...SINAR DI SEBALIK KEGELAPAN

Inilah yang dinamakan peluang, kebolehupayaan untuk mengubah itu kepada ini, tidak kepada ya dan salah kepada benar. Kita perlu bijak mengambil peluang dan menggunakan peluang. Peluang tidak datang selalu namun hadirnya membawa erti. Hargai peluang yang ada kerana hilangnya mungkin mengakibatkan duka.

Senantiasalah bermuhasabah diri. Selami diri dan fikir seketika.. “Adakah aku ada melakukan kesalahan kepada orang lain?” “Adakah tutur kataku menimbulkan rasa yang kurang selesa di hati mereka?” “Adakah betul tindakan yang aku ambil?”…Rebutlah peluang yang ada sebelum ia lenyap sama sekali.

“MENGAMBIL PELUANG UNTUK MEMOHON MAAF KEPADA SEMUA JIKA ADA KATA-KATA YANG MENGGURIS HATI..PERILAKU YANG MENGUNDANG RASA TIDAK SELESA..SECARA SENGAJA MAHUPUN TIDAK”

14 July 2009

.....MaLaS.....

SELAMAT SEJAHTERA KE ATAS KAMU

Mim Alif Lam Sin (MALAS)

Penyakit yang sangat bahaya..Lebih bahaya dari H1N1..Lebih parah dari AIDS..

Mim Alif Lam Sin punca kegagalan

Mim Alif Lam Sin punca kejatuhan

Mim Alif Lam Sin punca kesedihan

Semua itu berpunca dari perkataan tersebut yang kita sematkan dalam diri kita

Kita malas untuk mengatur hidup membawa kita kepada kegagalan untuk merancang dan akhirnya kita merancang untuk gagal

Kita malas belajar nescaya kita merancang untuk menyusahkan hidup kita di kemudian hari kelak

Kita malas untuk beribadah maka akan tibalah hari pembalasan di mana kita ditimpa azab seksa sebagaimana yang dijanjikan Pencipta kita.

Semua orang mengidap penyakit ini..Sakit yang tiada ubatnya melainkan dengan usaha diri sendiri.

Bebelan seorang ibu tidak dapat membuat anaknya berubah untuk menjadi rajin

Peringatan seorang guru tidak bisa menjadikan seorang pelajar itu rajin

Pesanan seorang ustaz belum tentu mengubah seseorang itu menjadi rajin


SEHINGGA KE HARI INI MASIH TIADA LAGI VAKSIN ATAU FORMULA UNTUK MERAWAT SINDROM MALAS


MALAS VS RAJIN

Penawar atau vaksin kepada penyakit Mim ALif Lam Sin (malas) ini hanyalah Ra ALif Jin Nun (rajin).

Kadangkala manusia akan berubah menjadi rajin bila terdesak, terpaksa, tersedar.. Kerana apa?

Kerana apabila seseorang itu terpaksa, contohnya menyiapkan kerja rumah ataupun tugasan maka rajinlah mereka ini. Jika tidak disiapkan nescaya menempah kesusahan seperti dirotan, ditolak markah dan mungkin membawa kepada gagal dalam peperiksaan

Tatkala seseorang itu tersedar, tersedar dari satu lamunan yang panjang dan membawa keinsafan selepas kealpaan diri mengundang keburukan kepada empunya diri maka akan tercetuslah revolusi dari malas kepada rajin. Keajaiban yang berlaku kepada kebanyakan kita yang tersedar selepas terhantuk.

Kita terdesak, maka proses tranformasi dari malas kepada rajin juga berlaku. Contoh yang paling mudah ialah pabila perut lapar dan perlu segera diisi. Diri yang malas ini terkadang berubah kepada rajin bagi mengisi perut yang ber”okestra” kerana terpaksa menyiapkan makanan untuk diri sendiri walaupun kadangkala cukuplah sekadar dua keping roti yang disapu mentega kacang.

Malas tidak membawa sebarang kebaikan kepada diri malahan menjadikan kita lebih teruk. Akan tetapi malas merajai setiap di hati kita dan ini menjadikan kita manusia yang suka berlengah serta penuh dengan alasan. Syaitan menggemari orang yang malas kerana kita mudah dipujuk supaya mengabaikan tanggungjawab kita, kewajipan yang perlu kita tunaikan kepada Rabbul Jalil yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Cubalah belajar untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Mungkin akan datan kesedaran kepada kita untuk berusaha untuk seorang yang rajin. Tidak salah mencuba ke arah kebaikan kerana setiap perkara yang baik walaupun dengan niat saja sudah mendatangkan pahala.. InsyaAllah.

“MALAS..suatu yang tiada penghujungnya. Terpulang kepada diri untuk mengubah itu semua”

06 July 2009

MUNGKIN YA…MUNGKIN TIDAK

ASSALAMUALAIKUM

Mungkin pelik bagi anda melihatnya tetapi situasi ini benar-benar berlaku:

- Seorang wanita mengenakan purdah tatkala dia keluar bersiar-siar,

Tetapi anda tidak pelik melihat seorang wanita yang mendedahkan auratnya

Mungkin anda akan tertanya-tanya jika:

- Seorang lelaki berkain pelikat ke pusat membeli belah,

Tetapi menjadi lumrah melihat seorang lelaki memakai “short” pabila melepak

Mungkin anda tidak hairan apabila:

- Lelaki atau wanita mewarnakan rambutnya

Tetapi anda mungkin menggaru kepala melihat kumpulan orang yang berserban (tabligh) bertandang ke rumah anda

Mungkin anda tidak kisah sekiranya:

- Rakan anda bercerita perihal orang lain (mengumpat)

Tetapi anda pasti gusar sekiranya tiba-tiba rakan tersebut bercerita tentang akhirat dan kematian

Mungkin anda akan mentertawakan:

- Sepasang lelaki Bangladesh berjalan berpimpin tangan

Tetapi anda selesa bila melihat sepasang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim jalan berpimpin tangan

Jika diteliti situasi tersebut dengan mata hati dan akal, mungkin anda baru terperasan di mana anda sebenarnya. Mungkin anda pernah terlihat situasi ini? Anda sendiri pernah menjadi golongan ini? Sama-sama kita renungkan dan fikirkan. Kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini atau kita mengambil remeh maka kita terlupa apa yang betul dan apa yang salah. Lalu timbullah perkara seperti contoh tersebut. Kita semacam lali dengan perkara yang salah dan menjadi hairan melihat orang melakukan perkara yang pada kita janggal tetapi sebenarnya itu sesuatu yang betul.

Dari mana datangnya semua ini, sebuah kotak yang bisa mengeluarkan gambar dan suara yang dipanggil televisyen. Televisyen cukup penting dalam kehidupan kita. Sangat penting kerana kita bisa memperolehi pelbagai input yang mendatangkan manfaat kepada kita. Begitu juga dengan pengaruh yang kurang elok sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Cara berpakaian, gaya hidup, pertuturan dan pelbagai lagi aspek dalam kehidupan seharian kita.

Di mana silapnya ini semua? Mungkin ada yang sedar dan ada yang tidak kita sebenarnya telah dijajah. Dijajah dari segi apa kerana negara kita bebas merdeka? Tanpa kita sedari sebenarnya minda kita dijajah kerana kita sudah lali dengan perkara-perkara tersebut akibat disumbat serta dihidangkan rancangan-rancangan yang berunsurkan cara hidup orang Barat. Rancangan tv di Malaysia juga mengalami perubahan yang semakin terikut-ikut dengan arus perdana yang menghidangkan rancangan dari genre yang sama.

BERFIKIR DENGAN AKAL YANG WARAS MENGHASILKAN JAWAPAN YANG BERNAS

Bezanya di Malaysia, agak bertapis kerana kita punya sesuatu yang dipanggil “adab ketimuran” yang jika dilihat sebenarnya hanya tinggal pada nama. Terdapat juga lembaga penapisan seperti FINAS yang menapis agar tidak keterlaluan. Natijahnya tetap sama. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Di mana kita berdiri sebenarnya? Kekadang kita terikut-ikut dengan cuba mengamalkan apa yang diperolehi dari televisyen dan mungkin juga berada di tengah-tengah kerana kewarasan akal kita yang dapat menapis perkara yang baik dan buruk. Itu terpulang kepada kita kerana semua itu datang dari kita, melalui keputusan kita.

Begitu juga dengan jaringan internet. Semuanya di hujung jari. Dengan satu klik informasi dekat dengan kita. Kita yang memilih untuk menggunakan itu ke arah kebaikan atau keburukan. Semua inilah yang mempengaruhi kita. Kita sendiri sedar, yang kita sangat mudah terpengaruh dengan perkara negatif berbanding positif. Sungguh sukar kerana minda yang dipupuk dengan perkara negatif sejak dari kecil lagi. Ditambah pula dengan hasutan si “dia” yang sangat gemar kita melakukan keburukan yang menjerumus kepada maksiat. Terpulanglah kepada diri untuk memilihnya. Kita punya pilihan untuk memilih. Pilihlah sebijaknya kerana setiap pilihan mendatangkan kesan. InsyaAllah.

Meminjam kata-kata Nabil, si Raja Lawak,

“ Lu orang ada mulut, lu orang diam..Lu orang ada mata, lu orang tengok..

Lu orang ada otak, lu orang fikirlah sendiri ”

01 July 2009

BUKAN SUSAH NAK SUSAH..BUKAN SENANG NAK SENANG




SALAM SEJAHTERA KE ATAS KAMU

Hidup ini ibarat roda. Putaran itu akan membuatkan kita berada di atas dan di bawah. Atas bermakna kita berada pada satu tahap yang hebat, terbaik, bagus dan senang manakala bawah menyampaikan maksud kita dalam keadaan yang kurang elok, merosot dan susah. Tidak boleh dijangka bila kita akan susah kerana dengan sekelip mata saja kita boleh terlibat dengan satu masalah yang besar dan begitu juga sebaliknya. Jika kita terpijak durian runtuh, maka senanglah kita.

Tetapi itu semua sesuatu yang kita tidak dapat pastikan. Andai kita berusaha insyaAllah kemenangan milik kita. Kemenangan di sini bermaksud, kejayaan dan kesenangan yang dikecapi. Dari mana datangnya semua ini adalah melalui usaha yang berterusan tanpa putus asa. Usaha yang berterusan tanpa rasa jemu. Bukan senang nak senang. Mungkin anda pernah dengar pernyataan ini.

Benarkah bukan senang nak senang? Jika dilihat diri anda sekarang, pencapaian anda yang telah anda kecapi adalah hasil dari usaha anda. Jika anda tidak berusaha kebarangkalian anda untuk berjaya amat tipis. Anda berusaha keras untuk berjaya. Tanyalah orang-orang kaya di luar sana dan orang-orang yang berjaya. Mereka asalnya orang biasa. Orang biasa yang mempunyai keazaman yang luar biasa untuk berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka. Mereka ini bekerja keras, membanting tulang dan tidak kenal erti perkataan mengalaha. Hasilnya, lahirlah insan yang sedemikian rupa. Nah, inilah yang dikatakan bukan senang nak senang.

PIRAMID..SALAH SATU DARI KEAJAIBAN DUNIA..PIRAMID TIDAK DIBINA DALAM MASA SEHARI...BERTAHUN MASA DIAMBIL UNTUK MENYIAPKANNYA..HASIL DARI KESUSAHAN RAKYATNYA MAKA TERHASILLAH PIRAMID INI.

HASIL DARI KESUSAHAN TERHASILLAH SEBUAH KEJAYAAN

Akan tetapi jika ada kesenangan, berada dalam keadaan yang selesa, dilimpahi rezki dari Allah serta cemerlang dalam pelajaran seringkali kita akan lupa dan lalai. Contohnya, kita membazir dengan menggunakan wang dengan tidak sepatutnya. Kita seorang pelajar yang cemerlang tetapi kita lupa dan menjadi malas. Kita kurang berusaha dan mengakibatkan keputusan peperiksaan merosot. Contoh yang paling mudah ialah gigi kita. Kita diajar untuk membersihkan supaya gigi kita sihat, kekal dan bebas daripada penyakit. Jika kita mengabaikan kebersihan gigi maka gigi akan rosak, berlubang dan hingga ke tahap perlu dicabut! Sudah tentu kita tidak mahu perkara tersebut berlaku. Dek kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Inilah yang dikatakan bukan susah nak susah. Jika kita tidak mengekalkan apa yang kita ada nescaya dengan mudah semuanya akan hilang. Nikmat yang dikurniakan akan ditarik. Sangat mudah untuk menjadi susah tetapi sangat susah untuk menjadi senang. Justeru itu, kita perlu mengekalkan apa yang kita ada. Usahlah terlalu cepat berpuas hati dengan sesuatu milik kita. Sentiasa ingat hidup kita umpama roda yang tidak tetap posisinya. InsyaAllah, jika kita berusaha dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan ianya akan kekal. Sesuatu yang kita usahakan dengan kemampuan diri kita pasti terasa berharga bila kita berjaya mengecapinya. Sentiasa tanamkan perasaan ini maka keazaman kita untuk mengekalkan sesuatu milik kita pasti tinggi.

Tentukan hidup kita hari ini kerana apa yang kita usahakan hari ini bakal menentukan hidup kita hari esok, lusa, tulat dan hari-hari seterusnya.