01 July 2009

BUKAN SUSAH NAK SUSAH..BUKAN SENANG NAK SENANG




SALAM SEJAHTERA KE ATAS KAMU

Hidup ini ibarat roda. Putaran itu akan membuatkan kita berada di atas dan di bawah. Atas bermakna kita berada pada satu tahap yang hebat, terbaik, bagus dan senang manakala bawah menyampaikan maksud kita dalam keadaan yang kurang elok, merosot dan susah. Tidak boleh dijangka bila kita akan susah kerana dengan sekelip mata saja kita boleh terlibat dengan satu masalah yang besar dan begitu juga sebaliknya. Jika kita terpijak durian runtuh, maka senanglah kita.

Tetapi itu semua sesuatu yang kita tidak dapat pastikan. Andai kita berusaha insyaAllah kemenangan milik kita. Kemenangan di sini bermaksud, kejayaan dan kesenangan yang dikecapi. Dari mana datangnya semua ini adalah melalui usaha yang berterusan tanpa putus asa. Usaha yang berterusan tanpa rasa jemu. Bukan senang nak senang. Mungkin anda pernah dengar pernyataan ini.

Benarkah bukan senang nak senang? Jika dilihat diri anda sekarang, pencapaian anda yang telah anda kecapi adalah hasil dari usaha anda. Jika anda tidak berusaha kebarangkalian anda untuk berjaya amat tipis. Anda berusaha keras untuk berjaya. Tanyalah orang-orang kaya di luar sana dan orang-orang yang berjaya. Mereka asalnya orang biasa. Orang biasa yang mempunyai keazaman yang luar biasa untuk berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka. Mereka ini bekerja keras, membanting tulang dan tidak kenal erti perkataan mengalaha. Hasilnya, lahirlah insan yang sedemikian rupa. Nah, inilah yang dikatakan bukan senang nak senang.

PIRAMID..SALAH SATU DARI KEAJAIBAN DUNIA..PIRAMID TIDAK DIBINA DALAM MASA SEHARI...BERTAHUN MASA DIAMBIL UNTUK MENYIAPKANNYA..HASIL DARI KESUSAHAN RAKYATNYA MAKA TERHASILLAH PIRAMID INI.

HASIL DARI KESUSAHAN TERHASILLAH SEBUAH KEJAYAAN

Akan tetapi jika ada kesenangan, berada dalam keadaan yang selesa, dilimpahi rezki dari Allah serta cemerlang dalam pelajaran seringkali kita akan lupa dan lalai. Contohnya, kita membazir dengan menggunakan wang dengan tidak sepatutnya. Kita seorang pelajar yang cemerlang tetapi kita lupa dan menjadi malas. Kita kurang berusaha dan mengakibatkan keputusan peperiksaan merosot. Contoh yang paling mudah ialah gigi kita. Kita diajar untuk membersihkan supaya gigi kita sihat, kekal dan bebas daripada penyakit. Jika kita mengabaikan kebersihan gigi maka gigi akan rosak, berlubang dan hingga ke tahap perlu dicabut! Sudah tentu kita tidak mahu perkara tersebut berlaku. Dek kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Inilah yang dikatakan bukan susah nak susah. Jika kita tidak mengekalkan apa yang kita ada nescaya dengan mudah semuanya akan hilang. Nikmat yang dikurniakan akan ditarik. Sangat mudah untuk menjadi susah tetapi sangat susah untuk menjadi senang. Justeru itu, kita perlu mengekalkan apa yang kita ada. Usahlah terlalu cepat berpuas hati dengan sesuatu milik kita. Sentiasa ingat hidup kita umpama roda yang tidak tetap posisinya. InsyaAllah, jika kita berusaha dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan ianya akan kekal. Sesuatu yang kita usahakan dengan kemampuan diri kita pasti terasa berharga bila kita berjaya mengecapinya. Sentiasa tanamkan perasaan ini maka keazaman kita untuk mengekalkan sesuatu milik kita pasti tinggi.

Tentukan hidup kita hari ini kerana apa yang kita usahakan hari ini bakal menentukan hidup kita hari esok, lusa, tulat dan hari-hari seterusnya.

No comments:

Post a Comment