22 August 2009

RAMADHAN

Selamat datang ya Ramadhan

Bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Bulan di mana kita menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Setiap orang pasti mempunyai pengalaman sendiri di bulan ini. Ada yang manis ada juga yang pahit.

Begitu juga saya yang tidak terlepas dari pengalaman tersebut. Setiap kali ramadhan pasti mengingatkan kembali peristiwa di zaman kanak-kanak. Seorang kanak-kanak yang belum mengerti apa itu puasa. Yang pasti puasa itu tidak boleh makan minum. Noktah. Tidak lebih dari itu

Tahun tersebut baru mula belajar berpuasa jadi tidak banyak yang diketahui. Tidak makan dan tidak juga minum..kecuali air paip di bilik mandi. Hampir setiap hari saya akan berbuat sedemikian. Pada saya itu tidak salah dan tidak pernah terlintas untuk bertanya.

Peristiwa itu agak lucu bila dikenang kembali kerana ramai yang memuji usaha saya yang belajar berpuasa di usia yang muda walhal mereka tidak tahu kebenarannya!! Semua itu sudah berlalu dan tahun demi tahun ramadhan banyak mengajar.

Mengajar kita erti bersyukur..Mengajar kita berfikir dan menjadi lebih rasional kerana di bulan ramadhan tiada lagi syaitan yang menghasut jiwa. Cuma nafsu yang perlu dikawal gelora. Semoga ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan yang lepas..Ameen.

SELAMAT DATANG YA RAMADHAN..KEDATANGANMU MEMBAWA ERTI YANG BESAR KEPADA SEMUA

18 August 2009

SIAPA MENANG?

SELAMAT SEJAHTERA









”Aku nak makan pizza”, ujar Kamal kepada sahabatnya Hakim

“Aku pula nak makan spaghetti”, Hakim memberitahu Kamal.

Kita seringkali tersepit dalam satu situasi di mana kita terpaksa memilih sesuatu. Kadangkala keinginan kita, pendapat kita dan cara kita berfikir tidak sama. Manusia masing-masing punya kemahuan diri sendiri yang kita sendiri ingin penuhi. Manusia pula hidup dalam komuniti di mana kita perlu bertolak ansur sesama kita supaya kehidupan yang kita jalani harmoni.

Seperti perbualan di atas, Hakim dan Kamal punya kemahuan yang berbeza. Seorang teringin untuk makan pizza manakala seorang lagi mengidam makan spaghetti. Jika diteliti kemahuan mereka berdua berbeza dan ini pasti mendatangkan masalah kerana mereka berdua keluar bersama. Masing-masing ingin memenuhi kemahuan diri sendiri.

Hal ini jika tidak bijak ditangani pasti akan menjadi satu masalah. Saya hanya menyatakan satu contoh mudah yang paling senang untuk difahami. Dua orang sahabat yang mahukan sesuatu yang berlainan. Jika diteliti dalam hidup kita, seringkali kita berhadapan dengan masalah ini. Dalam situasi ini kita harus bijak menanganinya agar masalah yang timbul tidak berlarutan dan satu jalan penyelesaian yang dapat memuaskan hati kedua-dua belah pihak dapat dicapai.

“Win-win situation” atau “situasi menang-menang” boleh mengambil tempat. Situasi menang-menang ialah di mana pihak yang menghadapi satu masalah dapat mencari satu solusi agar kedua-dua belah pihak mencapai kepuasan. Kepuasan bermaksud kemahuan mereka tercapai. Bagi menyelesaikan masalah mereka berdua, antara solusi yang boleh diambil ialah dengan mereka berdua pergi ke satu tempat yang menghidangkan kedua-dua jenis hidangan seperti pizza hut. Di sana Kamal boleh menikmati pizza manakala Hakim dapat menjamu selera dengan spaghetti.

Atau mungkin mereka berdua bertoleransi di mana, sama ada Hakim atau Kamal mengalah. Contohnya kali ini mereka memilih untuk memakan pizza dan menikmati spaghetti pada pertemuan seterusnya atau sebaliknya. Ini adalah situasi menang-menang kerana kedua-dua pihak dapat menyelesaikan masalah yang timbul tanpa salah seorang dari mereka terasa hati. Kita berkompromi dalam sesetengah perkara supaya kita dapat menyelesaikan masalah tanpa perlu menyusahkan banyak pihak.

Namun, ramai di antara kita yang jarang menggunakan kaedah ini. Ini sudah pasti merimaskan banyak pihak. Cara manusia berfikir itu kompleks maka salah faham senang dan rasa tidak puas hati mudah mengambil tempat. Sekiranya situasi menang-menang diterapkan perjalanan urusan harian kita pasti menjadi lebih mudah.

Kita selalu berkonfrontasi semasa di rumah, sekolah, tempat kerja. Susah untuk memuaskan hati manusia kerana kita sendiri punyai keinginan dan kemahuan kita sendiri. Bertolak ansur serta bertoleransi merupakan ramuan untuk bagi membolehkan kita menggunakan situasi menang-menang. Kita perlu sepakat agar penyelesaian itu hadir. Pepatah orang dulu-dulu “Sepakat membawa berkat” sangat bertepatan dan bersesuaian sekali kerana dari kesepakatan itulah lahir satu komuniti besar dan akhirnya terbentuk sebuah Negara yang kita cintai, Malaysia.

“Siapa menang? Bukan saya, bukan awak, bukan juga engkau atau aku… Kami yang menang”

05 August 2009

MINDA PENAFSIR

SALAM SEJAHTERA



GELAS DI ATAS..SEPARUH PENUH ATAU SEPARUH KOSONG?

Bagaimana anda menafsir gambar di atas? Separuh penuh? Separuh kosong? Jawapannya ialah jika dijawap separuh penuh adalah benar manakala separuh kosong juga tidak menjadi masalah. Jawapan ini subjektif tertakluk kepada mereka yang memandang dan menafsirkan apa yang mereka lihat. Kita masing-masing punya persepsi kita terhadap sesuatu.

Jika diberi masalah matematik, sudah pasti jawapan yang bakal diperolehi mantap, konkrit dan jitu. Sesusah mana soalan yang datang, jika betul cara penyelesaian dan perkiraan jawapan yang hadir pasti muktamad. Dalam perkiraan Matematik, hanya satu jawapan yang akan diperolehi.

Jika dilihat kembali contoh air di atas, kita mungkin boleh merungkaikan sesuatu. Manusia itu pelbagai ragam dan pendapat. Cara mereka memandang dan menafsir sesuatu juga berbeza. Jika satu benda mudah seperti air di dalam gelas mempunyai lebih dari satu persepsi apatah lagi perkara yang lain.

Manusia itu istimewa, pelik lagi rumit. Ini kerana manusia punya 1001 ragam tersendiri. Tiada manusia yang sama kelakuan dan cara berfikir. Setiap orang punyai daya pemikiran yang tersendiri. Kerana itulah manusia boleh memandang dan menafsir sesuatu perkara secara berlainan.

Contohnya, manusia akan menafsir sesuatu itu berdasarkan pengalaman, cara didikan serta pelbagai perkara yang meninggalkan kesan kepada empunya badan. Jika berhadapan dengan situasi sama, maka cetusan yang berlaku adalah berdasarkan ingatan yang dibina. Justeru itu, kita semua punyai sudut dan cara pandang kita tersendiri.

Hal ini kadang-kadang boleh menyebabkan berlakunya salah paham apabila kita berkomunikasi dengan orang lain. Apa yang ingin kita sampaikan tidak kesampaian lantas disalah ertikan oleh penerima. Kita memaksudkan sesuatu yang lain tetapi tanggapan penerima pula sebaliknya. Ini pasti mendatangkan rasa kurang selesa kepada kedua-dua belah pihak.

Penyelesaian? Susah untuk dirungkaikan kerana memuaskan hati manusia itu satu perkara yang amat sukar. Jadi cubalah sedaya upaya agar apa yang ingin disampaikan mampu difahami penerima walaupun tidak 100%. Belajar berkomunikasi dengan seelok-eloknya kerana seringkali kita gagal untuk berkomunikasi dengan baik. Orang yang menerima juga perlu sedaya upaya untuk belajar memahami maksud yang ingin disampaikan si penyampai. Belajar untuk mendengar dan didengari. Mungkin itu yang sebaiknya.