05 August 2009

MINDA PENAFSIR

SALAM SEJAHTERA



GELAS DI ATAS..SEPARUH PENUH ATAU SEPARUH KOSONG?

Bagaimana anda menafsir gambar di atas? Separuh penuh? Separuh kosong? Jawapannya ialah jika dijawap separuh penuh adalah benar manakala separuh kosong juga tidak menjadi masalah. Jawapan ini subjektif tertakluk kepada mereka yang memandang dan menafsirkan apa yang mereka lihat. Kita masing-masing punya persepsi kita terhadap sesuatu.

Jika diberi masalah matematik, sudah pasti jawapan yang bakal diperolehi mantap, konkrit dan jitu. Sesusah mana soalan yang datang, jika betul cara penyelesaian dan perkiraan jawapan yang hadir pasti muktamad. Dalam perkiraan Matematik, hanya satu jawapan yang akan diperolehi.

Jika dilihat kembali contoh air di atas, kita mungkin boleh merungkaikan sesuatu. Manusia itu pelbagai ragam dan pendapat. Cara mereka memandang dan menafsir sesuatu juga berbeza. Jika satu benda mudah seperti air di dalam gelas mempunyai lebih dari satu persepsi apatah lagi perkara yang lain.

Manusia itu istimewa, pelik lagi rumit. Ini kerana manusia punya 1001 ragam tersendiri. Tiada manusia yang sama kelakuan dan cara berfikir. Setiap orang punyai daya pemikiran yang tersendiri. Kerana itulah manusia boleh memandang dan menafsir sesuatu perkara secara berlainan.

Contohnya, manusia akan menafsir sesuatu itu berdasarkan pengalaman, cara didikan serta pelbagai perkara yang meninggalkan kesan kepada empunya badan. Jika berhadapan dengan situasi sama, maka cetusan yang berlaku adalah berdasarkan ingatan yang dibina. Justeru itu, kita semua punyai sudut dan cara pandang kita tersendiri.

Hal ini kadang-kadang boleh menyebabkan berlakunya salah paham apabila kita berkomunikasi dengan orang lain. Apa yang ingin kita sampaikan tidak kesampaian lantas disalah ertikan oleh penerima. Kita memaksudkan sesuatu yang lain tetapi tanggapan penerima pula sebaliknya. Ini pasti mendatangkan rasa kurang selesa kepada kedua-dua belah pihak.

Penyelesaian? Susah untuk dirungkaikan kerana memuaskan hati manusia itu satu perkara yang amat sukar. Jadi cubalah sedaya upaya agar apa yang ingin disampaikan mampu difahami penerima walaupun tidak 100%. Belajar berkomunikasi dengan seelok-eloknya kerana seringkali kita gagal untuk berkomunikasi dengan baik. Orang yang menerima juga perlu sedaya upaya untuk belajar memahami maksud yang ingin disampaikan si penyampai. Belajar untuk mendengar dan didengari. Mungkin itu yang sebaiknya.

No comments:

Post a Comment