09 June 2009

INI BUKAN CUBAAN...INI BETUL-BETUL

SALAM SEJAHTERA

KEMALANGAN...SATU CARA DI MANA MANUSIA DI UJI

Ujian..semua itu perlu

Manusia diuji dengan 1001 jenis ujian seperti kesakitan, kemalangan, kehilangan dan pelbagai lagi cubaan yang dikenakan ke atas kita oleh yang Maha Esa. Segala bentuk ujian ini datang tanpa kita sedari. Ada manusia yang menerima segala dugaan yang datang dengan hati terbuka manakala sebahagian dari kita tidak dapat menerimanya. Hal ini mungkin kerana ujian yang menimpa terlalu berat untuk diterima.


Mujur manusia dikurniai sifat lupa kerana lupa ini menghilangkan perasan sewaktu pertama kali diuji. Walaupun tidak melupakan sesuatu peristiwa seperti kematian sepenuhnya namun perasaan sedih itu berkurangan. Jika tidak manusia akan sentiasa bermurung dan bersedih. Rasa sedih tetap ada akan tetapi perasaan itu telah berkurangan tidak seperti kali pertama ditimpa peristiwa tersebut.

Allah menguji dan manusia teruji, satu konsep di mana keimanan manusia itu diuji. Seringkali kita mendengar, “Semua perkara yang berlaku ada hikmah”. Sejauh mana kebenaran pernyataan tersebut? Adakah benar atau sebaliknya? Dapatkah anda menerima dugaan yang datang dengan hati terbuka? Bersabarkah anda dengan musibah yang melanda diri anda? Adakah anda menjalankan tugas anda sebagai khalifah di muka bumi ini?

Soalan tersebut jika dikupas satu persatu pasti jawapan yang diperolehi mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Adakah benar pernyataan “semua perkara yang berlaku ada hikmah”? Hal ini boleh diperjelas dengan mengambil contoh sekecil hidupan nyamuk. Nyamuk yang terkenal dengan pembawa virus seperti denggi juga mempunyai kelebihannya. Sebagai contoh, kawasan air bertakung dan saluran air tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk. Jika manusia prihatin sudah pasti kawasan seperti ini tidak wujud kerana kebersihan adalah sebahagian dari iman. Jika kawasan persekitaran kita bersih maka nyamuk tidak dapat membiak. Lalu kuranglah penyakit berbahaya tersebut. Pengajarannya ialah, jadilah manusia yang mementingkan kebersihan kerana dari situ pelbagai perkara yang mendatangkan kemudaratan dapat dielakkan. Bukankah itu satu kebaikan atau dikenali sebagai hikmah?


NYAMUK..SERANGGA YANG MENGUNDANG MASALAH KEPADA MANUSIA

Kedua, dapatkah kita menerima ujian dengan hati terbuka atau sebaliknya? Allah menguji sesiapa saja yang dikehendaki. Tidak kira orang itu kaya, miskin, sihat mahupun sakit. Sebenarnya ujian adalah medan di mana jati diri dan keimanan kita diuji. Tatkala diuji iman yang berperanan kerana ada manusia yang akan berubah menjadi seorang yang lebih baik kerana redha dengan ujian tersebut. Ada juga yang tidak dapat menerima dan menyifatkan sesuatu itu sebagai musibah dan tidak sama sekali menerimanya sebagai ujian dari Maha Agung.

Kesabaran, perkara yang sangat subjektif kerana setiap orang punyai tahap kesabaran yang berbeza. Sesetengah orang tatkala diuji mereka begitu sabar dan menghadapi perkara tersebut dengan tenang. Lihat junjungan kita Rasulullah S.A.W. Kesabaran baginda jelas kerana sepanjang tempoh berdakwah di Mekah baginda diuji namun semangatnya tidak pernah luntur. Tetapi kita, kadangkala diuji dengan perkara yang kecil tidak mampu menahannya, marah-marah, terlalu bersedih dan pelbagai lagi cara untuk menggambarkan perasaan ketika itu. Tidak salah tapi ingatlah semua yang datang, semua yang berlaku itu datangya dari Allah.

Kita dilantik sebagai khalifah di bumi ini untuk memakmurkan bumi Tuhan dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Sedar atau tidak ramai di antara kita yang tidak menjalankan tanggungjawab itu. Menunaikan lima rukun Islam dan enam rukun Iman terlalu berat untuk kita laksanakan. Apabila tanggungjawab yang diamanahkan itu diabaikan dan tidak dijalankan dengan sempurna maka Allah akan menguji. Manusia sentiasa lupa. Ada manusia yang bila diuji baru ingat kepada Allah. Timbul rasa insaf. Jika tidak solat entah ke mana. Puasa dan zakat? Apatah lagi menunaikan haji. Satu soalan untuk saya dan semua, “Wajarkah kita diuji dek kerana kealpaan dan kelalaian kita menunaikan kewajipan kita?” Sama-samalah kita renungkan dan cari jawapan untuk soalan tersebut. Di mana kita berdiri sebenarnya dalam hidup yang penuh dugaan dan pancaroba ini.

“Sabar, Redha, Istiqamah, Muhasabah..Mungkin ini boleh menjadikan kita tenang di kala ujian melanda…InsyaAllah”

KITA DAN CARA KITA BERPAKAIAN

ASSALAMUALAIKUM W.B.T

“Wah, bukan main wangi lagi kau Man”, tegur si Abu apabila hidungnya mengesan bau haruman dari sahabtnya itu.

“Ala..biasala jumpa awek kenala wangi-wangi”, jawap Seman sambil bersiul-siul.

“Tebal betul mekap u Jue”, usik Sally apabila melihat Jue mengenakan mekap yang tebal semasa sedang bersiap.

“Mestila, nak jumpa cik abang kita”, Jue tersenyum meleret.

Sudah fitrah manusia yang inginkan sesuatu yang cantik, wangi, kemas dan segala perkara yang baik. Tanyalah sesiapa saja, jawapan mereka pasti sama seperti contoh yang dikemukakan. Apabila keluar bekerja, belajar, makan angin dan sebagainya, manusia akan melaram, cuba melaram menggayakan pakaian yang menepati citarasa mereka.

Lihat saja di pusat membeli belah pada hari minggu, remaja menggayakan pelbagai jenis pakaian bersesuaian dengan aliran yang mereka bawa, bertepatan dengan halwa mereka dan memenuhi kehendak dan citarasa mereka. Golongan ini sanggup berhabis hingga ratusan ringgit asalkan mereka dapat bergaya seperti yang mereka idamkan.

Jika dilihat pada hari bekerja orang yang mengenakan pakaian seperti baju kurung, blaus, kemeja dan slack dan pelbagai lagi beserta dengan warna-warna yang cantik dan bertepatan dengan etika pemakaian yang menjadi garis panduan mereka.

CANTIK, KEMAS, BERGAYA

Mereka ini nampak segak dan cantik dek kerana rupa yang dikurniakan serta cara pemakaian yang menambah lagi seri di wajah mereka. Jika berpakaian selekeh ke tempat kerja sudah tentu orang memandang serong kepada kita dengan menganggap kita pekerja kolar biru walhal kita sebenarnya pekerja kolar putih! Sudah pasti kita tidak senang dengan situasi ini.

Tetapi satu perkara yang kita mungkin terlepas pandang ialah apabila kita hendak bertemu pencipta kita. Bagaimana agaknya cara pemakaian kita? Mengikut dari pemerhatian saya, orang akan berpakaian ala kadar apabila menunaikan solat! Bagi yang lelaki ada yang bersinglet dan ada juga yang tidak berpakaian semasa bersolat. Sekadar kain yang menutup bahagian pusat sehingga ke lutut. Yang perempuan tidak pula diketahui kerana tidak mempunyai peluang untuk melakukan pemerhatian.

Memang dalam Islam tidak salah etika pemakaian itu, cukup sekadar menutup aurat dari bahagian pusat hingga ke lutut bagi lelaki dan semua bahagian kecuali bahagian muka bagi perempuan apabila mengenakan telekung.

Dengan berpakaian ala kadar mengadap Rabbul Jalil, adakah anda rasa anda telah berlaku adil kepada pencipta anda? Jika anda sanggup menghabiskan setengah botol minyak wangi semata-mata untuk berjumpa kekasih hati, berpakaian kemas pabila bekerja dan menggayakan fesyen yang hampir menyamai artis barat, mengapa tidak melakukan cara yang serupa bila berhadapan dengan Allah?

BUKANKAH LEBIH BAGUS PABILA MENUNAIKAN SOLAT KITA MEMAKAI SEDIKIT HARUMAN DAN BERPAKAIAN KEMAS

Berpakaian ala kadar bila menunaikan solat walhal anda mengenakan pakaian yang cantik-cantik bagi agenda yang lain, anda semacam tidak adil terhadap Pencipta. Pernah ada seorang ustazah berpesan, “Cuba kalau solat, berpakaian seperti hendak keluar berjalan. Ini tak, kalau berjalan pakai cantik-cantik tapi bila solat pakai ala kadar je”. Nah, ini baru betul! Anda mengenakan wangian semasa bersolat, mengenakan pakaian yang bersih dan cantik bagi lelaki dan telekung yang bersih lagi harum bagi wanita. Bukankah ini lebih bagus?

Anda selesa tatkala mengangkat takbiratul ihram sehingga mengucapkan salam. Anda menunaikan hak anda kepada Allah. Anda telah berlaku adil kepada diri sendiri. Sesungguhnya Allah itu maha adil, maha penyayang dan maha pengampun. Lahirkanlah rasa syukur itu melalui solat yang didirikan bersama dengan etika pakaian yang boleh menambahkan lagi rasa syukur itu. Segala yang ada di dunia ini milikNya jadi janganlah berkira dalam melakukan kebaikan. Jika ditarik nikmat, nescaya anda rugi.

“Solat itu tiang agama. Sempurna solat sempurnalah iman kita, InsyaAllah”

Bersama-sama mencari keredhaan Allah

KENAPA

SALAM

Maaf kerana sudah lama tidak menambah entri di dangdangdut..Dek kerana

ketiadaan masa yang sibuk menguruskan urusan ayah bonda sementelahan mereka

menunaikan ibadah umrah.. Ditambah pula dengan ketiadaan jaringan internet di

kampung halaman..Kerana juga ujian di mana buah hati (komputer riba) yang dicuri

semasa tiada di rumah sewa baru-baru ini. Allah menguji dan saya teruji.

Perkara-perkara yang melanda melambatkan usaha untuk saya menghasilkan entri

baru..InsyaAllah jika tiada aral melintang akan ku gagahkan diri untuk terus

berkongsi

BERKONGSI UNTUK SESUATU YANG BAIK..INSYAALLAH