09 June 2009

INI BUKAN CUBAAN...INI BETUL-BETUL

SALAM SEJAHTERA

KEMALANGAN...SATU CARA DI MANA MANUSIA DI UJI

Ujian..semua itu perlu

Manusia diuji dengan 1001 jenis ujian seperti kesakitan, kemalangan, kehilangan dan pelbagai lagi cubaan yang dikenakan ke atas kita oleh yang Maha Esa. Segala bentuk ujian ini datang tanpa kita sedari. Ada manusia yang menerima segala dugaan yang datang dengan hati terbuka manakala sebahagian dari kita tidak dapat menerimanya. Hal ini mungkin kerana ujian yang menimpa terlalu berat untuk diterima.


Mujur manusia dikurniai sifat lupa kerana lupa ini menghilangkan perasan sewaktu pertama kali diuji. Walaupun tidak melupakan sesuatu peristiwa seperti kematian sepenuhnya namun perasaan sedih itu berkurangan. Jika tidak manusia akan sentiasa bermurung dan bersedih. Rasa sedih tetap ada akan tetapi perasaan itu telah berkurangan tidak seperti kali pertama ditimpa peristiwa tersebut.

Allah menguji dan manusia teruji, satu konsep di mana keimanan manusia itu diuji. Seringkali kita mendengar, “Semua perkara yang berlaku ada hikmah”. Sejauh mana kebenaran pernyataan tersebut? Adakah benar atau sebaliknya? Dapatkah anda menerima dugaan yang datang dengan hati terbuka? Bersabarkah anda dengan musibah yang melanda diri anda? Adakah anda menjalankan tugas anda sebagai khalifah di muka bumi ini?

Soalan tersebut jika dikupas satu persatu pasti jawapan yang diperolehi mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Adakah benar pernyataan “semua perkara yang berlaku ada hikmah”? Hal ini boleh diperjelas dengan mengambil contoh sekecil hidupan nyamuk. Nyamuk yang terkenal dengan pembawa virus seperti denggi juga mempunyai kelebihannya. Sebagai contoh, kawasan air bertakung dan saluran air tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk. Jika manusia prihatin sudah pasti kawasan seperti ini tidak wujud kerana kebersihan adalah sebahagian dari iman. Jika kawasan persekitaran kita bersih maka nyamuk tidak dapat membiak. Lalu kuranglah penyakit berbahaya tersebut. Pengajarannya ialah, jadilah manusia yang mementingkan kebersihan kerana dari situ pelbagai perkara yang mendatangkan kemudaratan dapat dielakkan. Bukankah itu satu kebaikan atau dikenali sebagai hikmah?


NYAMUK..SERANGGA YANG MENGUNDANG MASALAH KEPADA MANUSIA

Kedua, dapatkah kita menerima ujian dengan hati terbuka atau sebaliknya? Allah menguji sesiapa saja yang dikehendaki. Tidak kira orang itu kaya, miskin, sihat mahupun sakit. Sebenarnya ujian adalah medan di mana jati diri dan keimanan kita diuji. Tatkala diuji iman yang berperanan kerana ada manusia yang akan berubah menjadi seorang yang lebih baik kerana redha dengan ujian tersebut. Ada juga yang tidak dapat menerima dan menyifatkan sesuatu itu sebagai musibah dan tidak sama sekali menerimanya sebagai ujian dari Maha Agung.

Kesabaran, perkara yang sangat subjektif kerana setiap orang punyai tahap kesabaran yang berbeza. Sesetengah orang tatkala diuji mereka begitu sabar dan menghadapi perkara tersebut dengan tenang. Lihat junjungan kita Rasulullah S.A.W. Kesabaran baginda jelas kerana sepanjang tempoh berdakwah di Mekah baginda diuji namun semangatnya tidak pernah luntur. Tetapi kita, kadangkala diuji dengan perkara yang kecil tidak mampu menahannya, marah-marah, terlalu bersedih dan pelbagai lagi cara untuk menggambarkan perasaan ketika itu. Tidak salah tapi ingatlah semua yang datang, semua yang berlaku itu datangya dari Allah.

Kita dilantik sebagai khalifah di bumi ini untuk memakmurkan bumi Tuhan dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Sedar atau tidak ramai di antara kita yang tidak menjalankan tanggungjawab itu. Menunaikan lima rukun Islam dan enam rukun Iman terlalu berat untuk kita laksanakan. Apabila tanggungjawab yang diamanahkan itu diabaikan dan tidak dijalankan dengan sempurna maka Allah akan menguji. Manusia sentiasa lupa. Ada manusia yang bila diuji baru ingat kepada Allah. Timbul rasa insaf. Jika tidak solat entah ke mana. Puasa dan zakat? Apatah lagi menunaikan haji. Satu soalan untuk saya dan semua, “Wajarkah kita diuji dek kerana kealpaan dan kelalaian kita menunaikan kewajipan kita?” Sama-samalah kita renungkan dan cari jawapan untuk soalan tersebut. Di mana kita berdiri sebenarnya dalam hidup yang penuh dugaan dan pancaroba ini.

“Sabar, Redha, Istiqamah, Muhasabah..Mungkin ini boleh menjadikan kita tenang di kala ujian melanda…InsyaAllah”

No comments:

Post a Comment