18 August 2009

SIAPA MENANG?

SELAMAT SEJAHTERA









”Aku nak makan pizza”, ujar Kamal kepada sahabatnya Hakim

“Aku pula nak makan spaghetti”, Hakim memberitahu Kamal.

Kita seringkali tersepit dalam satu situasi di mana kita terpaksa memilih sesuatu. Kadangkala keinginan kita, pendapat kita dan cara kita berfikir tidak sama. Manusia masing-masing punya kemahuan diri sendiri yang kita sendiri ingin penuhi. Manusia pula hidup dalam komuniti di mana kita perlu bertolak ansur sesama kita supaya kehidupan yang kita jalani harmoni.

Seperti perbualan di atas, Hakim dan Kamal punya kemahuan yang berbeza. Seorang teringin untuk makan pizza manakala seorang lagi mengidam makan spaghetti. Jika diteliti kemahuan mereka berdua berbeza dan ini pasti mendatangkan masalah kerana mereka berdua keluar bersama. Masing-masing ingin memenuhi kemahuan diri sendiri.

Hal ini jika tidak bijak ditangani pasti akan menjadi satu masalah. Saya hanya menyatakan satu contoh mudah yang paling senang untuk difahami. Dua orang sahabat yang mahukan sesuatu yang berlainan. Jika diteliti dalam hidup kita, seringkali kita berhadapan dengan masalah ini. Dalam situasi ini kita harus bijak menanganinya agar masalah yang timbul tidak berlarutan dan satu jalan penyelesaian yang dapat memuaskan hati kedua-dua belah pihak dapat dicapai.

“Win-win situation” atau “situasi menang-menang” boleh mengambil tempat. Situasi menang-menang ialah di mana pihak yang menghadapi satu masalah dapat mencari satu solusi agar kedua-dua belah pihak mencapai kepuasan. Kepuasan bermaksud kemahuan mereka tercapai. Bagi menyelesaikan masalah mereka berdua, antara solusi yang boleh diambil ialah dengan mereka berdua pergi ke satu tempat yang menghidangkan kedua-dua jenis hidangan seperti pizza hut. Di sana Kamal boleh menikmati pizza manakala Hakim dapat menjamu selera dengan spaghetti.

Atau mungkin mereka berdua bertoleransi di mana, sama ada Hakim atau Kamal mengalah. Contohnya kali ini mereka memilih untuk memakan pizza dan menikmati spaghetti pada pertemuan seterusnya atau sebaliknya. Ini adalah situasi menang-menang kerana kedua-dua pihak dapat menyelesaikan masalah yang timbul tanpa salah seorang dari mereka terasa hati. Kita berkompromi dalam sesetengah perkara supaya kita dapat menyelesaikan masalah tanpa perlu menyusahkan banyak pihak.

Namun, ramai di antara kita yang jarang menggunakan kaedah ini. Ini sudah pasti merimaskan banyak pihak. Cara manusia berfikir itu kompleks maka salah faham senang dan rasa tidak puas hati mudah mengambil tempat. Sekiranya situasi menang-menang diterapkan perjalanan urusan harian kita pasti menjadi lebih mudah.

Kita selalu berkonfrontasi semasa di rumah, sekolah, tempat kerja. Susah untuk memuaskan hati manusia kerana kita sendiri punyai keinginan dan kemahuan kita sendiri. Bertolak ansur serta bertoleransi merupakan ramuan untuk bagi membolehkan kita menggunakan situasi menang-menang. Kita perlu sepakat agar penyelesaian itu hadir. Pepatah orang dulu-dulu “Sepakat membawa berkat” sangat bertepatan dan bersesuaian sekali kerana dari kesepakatan itulah lahir satu komuniti besar dan akhirnya terbentuk sebuah Negara yang kita cintai, Malaysia.

“Siapa menang? Bukan saya, bukan awak, bukan juga engkau atau aku… Kami yang menang”

No comments:

Post a Comment