25 July 2009

KAYA....HARTA ATAU HATI?


Jumaat lepas, khutbah Jumaat yang disampaikan Khatib terasa berkesan penyampaiannya. Berkenaan kekayaan, kaya bukan dari segi jumlah wang ringgit yang kita ada tetapi kekayaan hati kita. Isi yang ringkas namun padat dengan pengajaran yang boleh merubah kita.

Memang tidak dapat dinafikan wang ringgit dan harta benda begitu penting dalam kehidupan seharian kita. Tanpa wang ringgit, kita terbatas dari melakukan sesuatu perkara kerana hampir semua benda yang kita lakukan perlukan bayaran. Tiada lagi istilah percuma di zaman ini maka wang ringgit sangat perlu.

Menjadi lumrah manusia yang suka kepada kesenangan maka kekayaan juga mungkin menjadi aspek yang sangat dititik beratkan oleh seseorang. Dengan kesenangan yang ada, kita akan rasa selesa dengan kehidupan yang kita lalui. Lihat saja di luar sana, betapa ramai orang yang terpaksa meminjam dari ceti haram, “ah long” kerana kesempitan wang. Mereka ini begitu terdesak sehingga sanggup untuk berhutang dengan golongan ini walhal kesan dan akibat yang telah diketahui bakal menimpa mereka jika tidak dapat melunaskan hutang kemudian hari kelak.

Jika terlalu dilimpahi kekayaan mungkin juga kita manusia bakal lupa kepada Pencipta. Lupa yang bakal mendatangkan 1001 masalah di kemudian hari kelak. Lupa kepada ibadah, tanggungjawab kepada mereka yang kurang bernasib baik, zakat dan banyak lagi. Manusia mudah lupa tatkala senang dan mula kembali ingat pabila teruji. Betapa hebatnya kuasa kesenangan. Kita lalai dengan tanggungjawab sedia ada kita.

Jika kaya hati, insyaAllah hidup kita akan senang walaupun tidak sesenang seorang jutawan. Kerana kita akan sentiasa istiqamah, akan sentiasa ingat. Hati dipenuhi rasa syukur dengan segala limpah kurnia Ilahi. “Lebih besar periuk, lebih banyak keraknya”, peribahasa orang dulu-dulu yang menyatakan sifat manusia. Sekiranya kita mempunyai RM100 jaidi kita akan berbelanja nilai setara dengan nilai itu tetapi jika mempunyai RM20 adalah agak mustahil untik kita berbelanja lebih. Kita tetap berbelanja cuma cara pengurusan itu berbeza mengikut kemampuan kita. Mungkin lebih senang jika diungkap, “Ukurlah baju sendiri” di mana kita bertindak atas kemampuan diri kita, senantiasa muhasabah agar kita tahu perkara terbaik untuk diri kita.

Kaya hati juga merujuk kepada sikap kita, reaksi kita apabila menghadapi sesuatu. Tatkala ditimpa kesusahan, pabila kita diuji, semasa melayan kerenah manusia yang tidak pernah rasa puas. Kita akan tenang apabila menghadapi situasi seperti ini kerana kita tenang dan rasional, buah fikiran yang terhasil juga bernas. Jika miskin hati kita, segala apa yang datang bakal dianggap sebagai musibah dan kecelakaan. Kita rimas dengan situasi yang timbul dan mengambil jalan mudah.

Bagi mereka yang kaya hatinya, masalah akan sentiasa ada solusi tersendiri dan masalah itu juga dilihat sebagai peluang. Tidak keterlaluan jika digelar “rangsangan sihat” kerana secara tidak langsung kita dilatih menjadi seorang yang tenang dalam apa jua keadaan yang menimpa kita, insyaAllah. Manusia dikurniakan akal yang bergandingan dengan hati, namun terlalu mengikut kata hati juga bakal menyusahkan kita. “Ikut hati mati”.. Seimbangkan antara akal dan hati kerana kedua-dua ini merupakan raja dan permaisuri bagi kita, iaitu pentadbir kita.

Terangkan hati kita dan kayakan ia dengan segala perkara yang baik nescaya kita bakal menjadi kaya, bukan kaya harta tetapi hati yang dipenuhi dengan rasa syukur, istiqamah dan bersangka baik. Hati yang kaya boleh memimpin kita ke arah kebaikan namun harta yang banyak belum tentu dapat mendorong dan memberi panduan kepada kita.

No comments:

Post a Comment