14 May 2009

Knowledge is Weapon



Ilmu..harta tidak ternilai harganya.

“Jangan malas, nanti kau yang rugi”, pesan ayah kepada saya.

“Jangan asyik nak tengok tv. Sudah, tutup tv. Pergi belajar!”, tegas ayah

Dialog-dialog berkenaan adalah contoh pesanan ayah kepada saya supaya saya tidak mengabaikan pelajaran dalam erti kata lain, memuliakan ilmu serta mendampinginya. Ayah tak pernah jemu mengingatkan saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan seringkali keputusan saya dipertikai kerana keputusan yang kurang memberangsangkan.

Ayat-ayat ayah tidak satu pun yang berbaur pujian, hanya kritikan demi kritikan yang menusuk kalbu hampir setiap kali yang keluar mulut ayah. Keputusan yang memberangsangkan juga tidak mengundang kemanisan, sekadar ucapan tahniah namun jika kegagalan rotan disediakan beserta dialog-dialog yang ayah reka khas bukan hanya saya untuk namun adik-beradik yang lain menerima nasib yang sama. Berterusanlah ini sehingga kami dewasa. Kekadang rasa menjengkelkan kerana setiap kali ditegur hampir sama ayat ayah. Ayat yang “makan dalam” terus menusuk kalbu.

Kini bila dewasa, baru saya faham rasional perbuatan ayah. Ayah tidak mahu anak-anak menerima nasib yang sama seperti ayah, tidak dapat meneruskan pelajaran kerana kekangan hidup yang melanda keluarga. Kemiskinan dan kedaifan yang meghantui keluarga ayah membataskan sehingga pelajaran di tolak ketepi. Cukup sekadar tahu membaca dan mengira. Selebihnya ayah menimba ilmu sendiri. Atas dasar “mahu” bukan kerana “terpaksa”.

Kesempitan hidup inilah yang menjadikan ayah seorang yang tegas dalam mendidik anak-ananknya supaya berjaya di kemudian hari kelak. Berkat usaha ayah dan doa yang dipanjatkan setiap kali selepas menunaikan solat tidak kira fardu atau sunat, ayah tidak pernah lupa menadah tangannya kepada Ar-Rab agar kehidupan kami sekeluarga akan bertambah baik.

Ilmu sangat penting kerana ilmu bakal mengubah nasib seseorang, sejauh mana tahap pelajarannya dan kelulusan yang terhasil melalui segulung ijazah. Mereka inilah yang bersengkang mata siang dan malam demi mendapatkan segulung kertas yang begitu berharga. Setiap kejayaan ini pastinya datang dengan usaha keras dan air mata.

Kata-kata hikmah seperti “Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China” dan “ Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad” menunjukkan kepentingan menuntut ilmu kerana ilmu itu sesuatu yang tidak akan habis. Semakin anda menambah ilmu, semakin pula terasa kurangnya. Semakin anda mendekatinya semakin terasa jauh. Begitulah ilmu.

Kekadang anda tidak perlu mentelaah berjam-berjam untuk menambah ilmu. Dengan pembacaan hanya 10 minit sudah cukup tetapi pastikan pembacaan itu bermakna, meresap ke dalam minda dan hati anda dengan konsep “faham” bukan “hafal”. Menghafal tidak menjamin kekuatan memori kerana fikrah manusia memang akan lupa dan terus lupa. Cukup dengan faham, kerana faham membuatkan kita ingat. Sekiranya lupa, kotak memori kita boleh mencari di data simpanan andai diperlukan kelak.

Berbeza dengan hafal, kerana hafal tidak menjanjikan apa-apa. Sekadar kepayahan yang diusahakan semata-mata untuk mengingati data buat beberapa ketika. Melalui penghafalan, data diproses dan disimpan dalam kotak memori. Memori yang dihafal hanya bertahan seketika jika dibandingkan dengan konsep faham. Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain bertepatan untuk menyamakan dengan ilmu, tak perlu banyak tapi bila dikumpul lama-lama jadi banyak. Begitulah ilmu, Kenapa tak percaya? Berapa lama anda sudah belajar dan berapa banyak input yang sudah anda proses menjadi ilmu? Banyak bukan?



Buku Seringkali Dikaitkan Dengan Ilmu

Jika disingkap kembali sirah Rasulullah S.A.W, ayat Al-Quran yang pertama turun melalui Jibril A.S ialah Iqra (Bacalah). Nabi Muhammad S.A.W didakap malaikat Jibril A.S lalu dibisikkan perkataan tersebut. Iqra (bacalah) dibisikkan beberapa kali lalu diulang Rasulullah S.A.W. Lihatlah betapa penting membaca yang berkati rapat dengan “ILMU”. Knowledge is power. Begitu gah ayat ini, hanya tiga perkataan tetapi mempunyai makna yang begitu besar dan mendalam. Jadi mengapa berlengah? Tambahlah ilmu kerana ilmu yang dituntut hadiahnya umpama serampang dua mata. Jika ilmu yang dituntut itu benar maka anda bakal mengetahui sesuatu yang baru dan mendapat pahala. Mudahnya menambah pahala. MasyaAllah.


Ilmu yang terdapat di alam semesta ini tidak terbatas banyaknya. Ilmu yang diajar atau ilmu yang diperolehi sendiri berdasarkan pengalaman pemilik. Rujuk saja di sekolah rendah baik menengah, sekolah agama atau pondok, universiti mahupun kolej-kolej, jika diperhati satu persatu, terlalu banyak yang diajar. Itu ilmu yang dicatat dan direkod. Yang tidak direkod pula bagaimana? Yang pasti, ilmu ini datang dari yang satu, Rabbul Jalil, Tuhan pencipta sekelian alam. Bertebaranlah di muka bumi untuk mendampingi ilmu agar kita menjadi manusia yang berguna di dunia dan di akhirat kelak, InsyaAllah.



"Al-Quran...Sumber rujukan yang mencakupi semua bidang ilmu"

No comments:

Post a Comment