15 May 2009

MANUSIA HEBAT DI SEKELILING KITA


ASSALAMUALAIKUM

Guru, ustaz atau ustazah, cikgu, sifu, teacher dan pelbagai lagi nama yang untuk menggelar kelompok manusia ini. Kelompok manusia ini, mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu kepada pelajar sama ada di pra sekolah, sekolah rendah dan menengah serta di politeknik, kolej mahupun universiti. Sedar atau tidak, mereka ini begitu berjasa kepada kita kerana jika dikira bertahun-tahun lamanya mereka mencurahkan khidmat bakti bermula dari usia seawal lima atau enam tahun.

Tegurnya tanda ingat, Marahnya tanda prihatin, rotannya tanda sayang itulah guru. Hasil tunjuk ajar guru seorang itu menjadi menteri, doktor, jurutera dan banyak lagi. Senaraikan saja pekerjaan yang anda lakukan sekarang, jika tak diajar ABC dan 123, membaca dan mengira, di mana agaknya anda sekarang? Menjawat jawatan tersebut? Dalam mimpi berkemungkinan untuk berlaku,kalau realiti itu hanya harapan.

Dimulai tunjuk ajar ditambah dengan kesabaran yang tinggi, kita dididik dan diasuh untuk mengenali huruf demi huruf kemudian perkataan bertukar menjadi ayat. Maka berjayalah kita untuk membaca dan memahami isi kandungan yang cuba dihadam.

Tanpa sikap prihatin bercampur usaha berterusan guru, tidak juga kita kenal nombor demi nombor dari satu hingga sembilan, operasi campur, tolak, darab dan bahagi. Benak kita diisi supaya kita tahu kemudian boleh mengaplikasikannya terutama sekali dalam kehidupan seharian.

Berkat usaha mereka inilah, kita berjaya mencapai cita-cita yang dipasang sejak dari kecil. Seharusnya kita berterima kasih kepada mereka ini. Curahan ilmu dan kasih sayang dilimpahkan bagai mendidik anak sendiri. Jika dulu guru tugasnya mendidik, sekarang tanggungjawab guru sudah semakin besar. Pelbagai beban yang perlu digalas bersesuaian dengan zaman yang berubah menuntut guru memainkan peranan yang lebih besar.

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Jika seseorang itu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, tidak ditanya siapa gurunya. Soalan yang meluncur keluar, Kamu anak siapa? Lantas mereka-mereka ini dihujani pujian-pujian. Tetapi, jika seseorang itu keputusan tidak memberangsangkan pasti ditanya siapa guru yang mengajar. Nescaya di cela guru, dengan alasan tidak pandai mengajar. Adilkah itu?

Jika dulu, guru bisa merotan pelajar kerana dengan cara itu anak didik yang disayangi dapat belajar menjadi insan yang berguna kemudian hari namun hari ini, jika guru mendenda pelajar, sudah pasti ibu bapa menyerang guru, melaporkan hal tersebut kepada pihak atasan dan macam-macam lagi. Pelajar sendiri begitu berani mencederakan gurunya. Adilkah itu?

Di rumah ibu bapa hanya mendidik tiga atau empat orang anak. Tetapi di sekolah setiap guru perlu mengawal 30 ke 40 pelajar. Lebih 10 kali ganda nisbah manusia yang perlu dikawal, dididik serta diasuh. Mereka yang tidak mengerit enak saja menyalahkan guru kerana tidak berjaya mengasuh anak mereka sehingga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Guru juga manusia, punya hati dan perasaan serta tahap kesabaran. Khilaf, sesuatu yang biasa pada semua manusia. Tiada yang terlepas. Semua orang melakukan kesalahan, guru juga tidak terlepas kerana guru juga manusia biasa yang berusaha luar biasa bagi memastikan anak didik menjadi insan berguna. Usahlah mereka ini dibebani dengan masalah tersebut, kerana mereka sendiri sudah punya cukup masalah.

Jika anda seorang doktor, jurutera, pelakon bahkan angkasawan, ingatlah suatu masa dahulu anda adalah seorang budak hingusan yang mendapat asuhan dari seorang manusia yang bergelar guru. Jika anda pelakon, guru juga boleh berlakon. Jika anda doktor, guru juga boleh menjadi doktor. Jika anda seorang usahawan, guru juga usahawan. Guru bisa menjadi apa saja dalam usaha mendidik anda yang akhirnya berjaya pada hari ini. Janganlah berasa riak kerana tanpa mereka ini, anda tidak akan ke mana-mana tanpa guru, bimbingan serta tunjuk ajar guru.


LAUNG AGUNG

Bersempena dengan hari guru, ku ucapkan “SELAMAT HARI GURU” kepada semua guru yang pernah mendidik diri ini tanpa rasa jemu kerana terkadang merasakan diri ini dungu kerana tak berjaya memahami ilmu yang diajar walhal rakan-rakan yang lain dengan mudah memahaminya. Tidak lupa kepada semua guru yang berada di luar sana. Jasa anda terlalu besar, hanya ALLAH mampu membalas jasamu wahai guru. Hanya ucapan “TERIMA KASIH” yang mampu kuucapkan. Jika dikira dengan wang ringgit sekalipun, nescaya tak mampu ku bayar. Allah..besarnya jasamu cikgu!!!! Semoga guru yang mencurahkan ilmu dengan ikhlas mendapat jannah di akhirat sana. AMEEN.

Jika tak diajar membaca, menulis dan mengira, sudah pasti cebisan ini tak mungkin terhasil. Aku buta huruf dan tak mampu berkongsi. TERIMA KASIH CIKGU!!

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

No comments:

Post a Comment