22 May 2009

JANGAN MONYET!!

SALAM SEJAHTERA

“Jangan Monyet, jangan. Nanti kau juga yang susah”, pesan sang Kancil kepada Monyet.

Monyet yang degil, terus mengendahkan amaran sang Kancil yang cuba membantu sahabatnya itu. Selang beberapa minit kemudian, terdengarlah jeritan sang Monyet yang kepedasan dek kedegilannya.

Mungkin anda pernah menonton animasi tersebut yang pernah disiarkan sekitar tahun 90-an. Cerita-cerita aminasi ini melanda stesyen Radio Televisyen Malaysia, RTM 1 dan RTM2. Pelbagai lagi cerita lain seperti Sang Kerbau dan Buaya dan Sang Kancil dan Buaya. Cerita-cerita ini memberi pengajaran kepada manusia supaya sentiasa berwaspada dalam kehidupan seharian kita serta bijak membuat keputusan dalam hidup.

Sasaran utama cerita-cerita begini adalah kepada si cilik kerana mereka menggemari cerita dalam bentuk animasi. Kanak-kanak yang suci mindanya diserap dengan nilai-nilai murni supaya mereka dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Mereka juga dilatih menjadi orang yang jujur dalam setiap perbuatan mereka.

Selain terhibur menonton keletah sang Kancil dan rakan-rakan, si cilik dapat mempelajari perkara baru yang bakal mengubah hidup mereka. “Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”. Jika minda kita diasak dengan perkara yang elok, tidak mustahil jika tak banyak, insyaAllah sikit yang kita perolehi.

Contoh yang relevan, apabila kita mengulangkaji pelajaran tidak semua yang kita baca mampu kita faham dan ingat. Mungkin hanya 70% hasil pembacaan, mungkin lebih dan mungkin kurang yang kita perolehi. Lebih baik ada dari tiada kerana ada yang sedikit itu begitu berharga berbanding sesuatu yang tiada. Rasional bukan?

Begitu juga orang dewasa, golongan ini wajar menonton rancangan seperti ini kerana ini dapat mengingatkan mereka tentang nilai murni, perkara yang mereka belajar suatu ketika dahulu. Manusia pada zaman ini sudah kehilangan “common sense”, nilai-nilai murni yang pernah diterapkan dalam diri mereka ini sudah mereka campak jauh, jauh ke dalam lubuk hati atau jauh ke dalam otak pemikiran. Istilah yang paling mudah untuk mengungkapkannya ialah “lupa”. Kita sudah melupakan amalan ini maka terhasillah manusia yang tinggal dalam satu komuniti tetapi tidak berkomunikasi dalam komuniti tersebut.

Amalan bertegur sapa di kalangan jiran, sudah berkurangan dan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sudah tidak wujud kerana mereka keluar pagi dan balik malam. Tiada masa untuk jiran-jiran. Hari-hari cuti digunakan sepenuhnya untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Jika dulu, jiran tetangga begitu akrab tidak lagi pada zaman ini. Jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.

Banyak lagi contoh lain yang boleh disenaraikan seperti amalan gotong-royong, membantu orang lebih tua dan menghormati orang lain. Ambil sedikit masa dan renungkan, adakah anda masih mengamalkan perkara-perkara ini? Jika ya, baguslah kerana nilai murni yang pernah diterapkan masih menebal dalam diri anda. Tahniah diucapkan. Jika tidak, renunglah sebentar, ke mana ilmu yang pernah dicurahkan oleh guru anda itu menghilang?

Kita masing-masing punya alasan untuk setiap perkara yang kita lakukan. Manusia memang kaya dengan alasan dan sangat pandai memberi alasan. Alasan-alasan inilah yang menyebabkan manusia semakin melupakan nilai-nilai murni dan mengabaikannya. Setiap perkara baik yang kita lakukan, insyaAllah akan dibalas baik. Lakukanlah kebaikan. Sebesar hama sekalipun kebaikan itu nescaya Allah pasti membalasnya.



..SUSU DIBALAS TUBA..

Buat baik berpada-pada,
Buat jahat dosa tanggung sendiri

No comments:

Post a Comment