17 April 2009

Pengalaman...titik mula untuk berubah


ASSALAMUALAIKUM


Orang cakap kalau banyak membaca luas pengetahuan dan banyak berjalan luas pemandangan..Benar sekali kata-kata tersebut, telah terbukti orang yang banyak membaca luas pengetahuannya..Mengikut jenis bacaan yang dihadam empunya diri..Bagi yang berpeluang melawati tempat orang sudah pasti dapat belajar sesuatu yang baru mungkin dari segi kebudayaan, cara hidup dan mungkin juga makanan..Sesuatu yang sangat menarik.


Dengan cara tersebut kita boleh belajar sesuatu selain menuntut ilmu di sekolah, universiti dan mungkin juga kuliah di masjid mahupun surau. Banyak cara kita boleh belajar tapi yang ingin di ketengahkan di sini ialah belajar dari pengalaman.

Pengalaman bukan macam baca buku yang kita boleh dapat dengan hanya duduk dan mengadap buku tersebut. Pengalaman juga kita tidak kita perolehi dengan wang ringgit. Pengalaman adalah sesuatu yang sangat berharga yang kita dapat bila kita tersepit dalam suatu situasi, tersalah membuat keputusan dan mungkin juga berada di salah tempat pada waktu yang salah.

"Ibu, adik jatuh basikal", seorang anak kecil menangis teresak-esak mendapatkan ibunya yang berada di dapur. Anak itu segera memeluk ibunya dan pelukan itu dibalas bersama-sama kata perangsang agar buah hatinya itu berhenti menangis.

"Ala, sikit je ni. Adikkan hero. Hero mana boleh menangis", pujuk ibunya. Setelah beberapa ketika anak kecil itu berhenti menangis dan lukanya disapu ubat agar cepat sembuh.

Selang beberapa hari, anak kecil tersebut mengayuh kembali basikal kesayangan yang dihadiahkan ayahnya. Dia berazam untuk belajar mengimbang badannya agar tidak jatuh lagi kerana dia tahu jatuh itu menyakitkan. Beberapa jam kemudian anak kecil itu berjaya, berkat dari usaha dan keazamannya itu.







Inilah yang dikatakan pengalaman. Kronologi dari anak itu jatuh basikal mengakibatkan kesakitan yang dialami maka lahirlah keazaman untuk belajar menunggang basikal supaya tidak jatuh lagi. Jatuh yang mengakibatkan luka dan kesakitan menyebabkan otak memproses data di mana impuls di hantar ke otak agar mengimbangi badan semasa menunggang basikal supaya tidak berulang situasi yang sama.

Contohnya cukup mudah, seorang anak kecil yang jatuh, tetapi impaknya amat besar. Letakkan diri anda pada sesuatu situasi, di mana anda menghadapi kesukaran seperti gagal dalam peperiksaan yang menyebabkan kedua ibu bapa berang, tersalah pilih kawan yang merosakkan dan mungkin tersalah membuat pilihan dalam hidup.

Kesan daripada ini pasti mendatangkan kekesalan kepada kita. Tapi yang pasti kita belajar di situ, belajar dari kesilapan dan kealpaan yang kita telah lakukan. Proses ini mematangkan kita agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, di mana kadangkala keputusan itu akan mempengaruhi hidup kita sehingga ke akhir hayat.

Lebih banyak kesilapan yang dilakukan lebih banyak peluang kita untuk memperoleh pengalaman. Jangan rasa sesal apabila melakukan kesalahan tetapi menyesal apabila kita tidak berubah apabila telah melakukan kesilapan. Manusia tidak lekang dari melakukan kesilapan kerana manusia itu tidak sempurna, dari sikapnya sendiri, hawa nafsu dan juga godaan syaitan yang ingin kita sama-sama menemaninya di akhirat kelak.

Pengalaman merupakan titik tolak manusia untuk berubah bagi mereka yang mahu berubah. Bukan semua orang mudah berubah. Berubah itu sendiri amat subjektif, terpulang kepada empunya badan. Kiraannya amat mudah, "Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah". Jangan apabila sudah terlalu lewat baru hendak berubah. Nasi sudah menjadi bubur. Penyesalan adalah jalan terakhir yang anda ingin lakukan ketika itu.

Kita semua dikurniakan akal fikiran jadi gunakanlah nikmat yang Allah kurniakan sebaiknya. Semoga kita menjadi insan yang lebih bersedia untuk menjalani kehidupan di dunia dan mempersiapkan bekalan untuk dibawa bersama di akhirat kelak. Ameen.


"PERUBAHAN ITU PERLU DALAM HIDUP"






No comments:

Post a Comment