29 April 2009

DI KALA MULUT BISA BERBICARA

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

“Kau ni tak ada kerja lainke? Menyanyi aje” Soal Leman kepada rakan karibnya Taufik

“Okla tu daripada aku mencarutke cakap tak tentu hala, lagi bagus aku menyanyi ”, Ujar Taufik dengan nada yang agak kasar, keras. Barangkali berang ditegur sahabatnya.

Siapa saja yang suka ditegur dan diperbetulkan. Manusia telah lahir bersama-sama sesuatu yang sentiasa berada di samping kita iaitu, ego. Keegoan, sifat yang membuatkan kita keras kepala, enggan serta menidakkan sesuatu perkara yang kadang kala memakan diri. Keegoan itu menebal di dalam jiwa masing-masing, saya juga tidak terlepas dari perkara ini.

Manusia dianugerahkan dengan peti suara dilengkapi mikrofon iaitu mulut. Mulut bisa melakukan apa saja. Dengan mulut peperangan boleh tercetus dan terhasilnya perdamaian hasil daripada perbincangan. Mulut jugalah yang seringkali merobek hati seseorang akibat dari kata-kata yang dituturkan tanpa memikirkan perasaan si penerima. Dari mulut juga terhasil pepatah Melayu, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”

Bersesuaian benar pepatah itu,lebih-lebih lagi di era ini yang contohnya boleh dilihat, di dada kaca-kaca televisyen mahupun di dada akhbar. Tidak perlulah disenaraikan kerana pada hemat saya, kita tahu apa yang terjadi dan sudah pasti semua orang tidak terlepas dari situasi seperti ini sama ada kita sedar atau tidak. Sedar atau tidak, mulut sebenarnya merupakan senjata yang paling bahaya, lebih bahaya dari bom nuklear mahupun selsema khinzir yang menjadi kegusaran global pada masa ini.

Allah mengurniakan kita mulut, agar kita manusia boleh berkomunikasi sesama sendiri dan hidup dalam komuniti. Aktiviti harian kita seperti belajar, melakukan urusan perniagaan dan pelbagai lagi yang melibatkan pertuturan sudah pasti terbatas sekiranya nikmat ini ditarik. Jika dari asal kejadian manusia, dari zaman Nabi Adam A.S mulut sudah tiada fungsi dan berperanan hanya sebagai perhiasan maka tidaklah manusia itu bercakap sebaliknya menggunakan cara lain untuk berkomunikasi.

Contoh yang paling mudah ialah apabila kita melihat manusia yang istimewa (orang yang tidak boleh berkata-kata , bisu) bertutur. Mereka menggunakan isyarat tangan. Setiap pergerakan tangan beserta ekspresi muka itu menggambarkan simbol yang tidak kita ketahui melainkan kita mempelajarinya sendiri. Begitu juga kita, apabila cuba berkomunikasi dengan mereka, alternatif yang boleh digunakan ialah pen dan kertas agar mesej yang ingin disampaikan itu berjaya selain mempelajari isyarat tangan.

Setiap satu masalah yang timbul pasti menjanjikan penyelesaian. Allah menguji manusia, dilahirkan seseorang itu bisu. Lalu manusia yang bisu itu menggunakan akal yang dikurniakan untuk mencari penyelesaian. Konklusinya, lahirlah isyarat tangan yang membolehkan golongan istimewa ini berkomunikasi. Syukur, betapa kasihnya Allah kepada hambaNya.


ISYARAT TANGAN BAGI MEREKA YANG KURANG UPAYA


Mulut sering disalah gunakan oleh kita yang bergelar insan. Perkara yang sepatutnya menjadi tugas mulut diabaikan akan tetapi perkara yang sepatutnya ditunaikan menjadi “ tanggungjawab” kita. Kita menjalankannya tanpa disuruh walhal perkara tersebut patut dijauhi. Semua orang menghadapi masalah tersebut, saya tergolong juga dalam golongan ini.

Kegunaan mulut:

Bercakap tentang kebesaran Allah dan Nabi Muhammad S.A.W

Berzikir memuji Allah serta mengaji

Menyampaikan ilmu dan kebaikan

Berpesan ke arah kebaikan

Contoh di atas merupakan beberapa tugas yang menjadi tanggungjawab mulut dapat saya senaraikan. Pelbagai lagi yang boleh disenaraikan namun cukuplah sekadar ini sebagai perkongsian. Tanggungjawab ini seringkali kita, hamba Allah seringkali abaikan, menidakkannya dan paling utama melupakannya dek kerana “kesibukan” bekerja, belajar serta lain-lain hal yang membebani kehidupan seharian.

Akan tetapi, mulut sering digunakan untuk:

Mengumpat dan mengeji

Memuji keindahan serta kecantikan manusia

Menipu serta membohongi orang

Menyanyi dan berkaraoke lagu-lagu ciptaan manusia.

Sudah pasti ramai di antara kita yang melakukannya. Tanpa disuruh kita tahu “tanggungjawab” kita. Antaranya ialah mengumpat di mana menjadi agenda harian umpama para menteri bersidang di parlimen saja gayanya. Menteri bersidang cuba memajukan negara serta memperbaiki kehidupan rakyat, kita pula sibuk bersidang menceritakan perihal seseorang. Sedih bukan?

Nyawa kita sebenarnya umpama telur di hujung tanduk. Bila masa saja nyawa boleh dicabut. Setiap saat ada saja orang yang mati dan digantikan dengan bayi yang baru lahir. Jika mulut masih boleh berbicara gunalah pada kebaikan.. Banyak kebaikan serta faedahnya...Zikirlah kerana setiap zikir yang meluncur keluar dari mulut mendatangkan pahala, InsyaAllah.

Saya sering terlihat, manusia terutama sekali umat Islam berpusu-pusu mengunjungi pusat hiburan keluarga atau lebih mudah dipanggil “pusat karaoke”.

“Agaknya diorang ni mengaji ke tak ye?”, getus saya sendirian

“Mesti diorang ni mengaji baru pergi karaoke”, segera hati saya menghilangkan rasa sangsi di hati.

Tak elok rasa sangsi pada orang lain. Sentiasalah bersangka baik sesama kita

PADA SAYA, KALAU ADA MASA UNTUK BERHIBUR DAN BERKARAOKE NESCAYA KITA ADA MASA UNTUK DIPERUNTUKKAN PADA PENCIPTA. SUNGGUH TIDAK ADIL KITA INI, KERANA MEMBELAKANGI ALLAH, TUHAN PENCIPTA SEKELIAN ALAM.

CUBALAH BERLAKU ADIL KEPADA DIRI SENDIRI, IBU BAPA DAN ALLAH

No comments:

Post a Comment