23 April 2009

BAHAGIAN PENTADBIRAN


- ASSALAMUALAIKUM -


Kebanyakan kita dilahirkan cukup sifat, punya anggota badan yang sihat serta akal fikiran yang bisa membolehkan kita membezakan antara baik dan buruk lebih-lebih lagi tentang halal dan haram. Sejak dari kecil, ibu bapa kita tidak pernah penat mengingatkan kita supaya belajar bersungguh-sungguh agar kita menjadi seseorang di kemudian hari.

Pelajaran begitu dipentingkan di mana saja. Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh diikuti doa dan tawakal insyaAllah kita akan berjaya. Berapa ramaikah di luar sana yang mengecap kejayaan demi kejayaan berikutan usaha mereka yang tidak pernah kenal penat lelah, tidak pernah kenal erti putus asa serta jemu.

Tanpa sedar, hidup kita juga begitu. Manusia sebenarnya mentadbir kehidupannya sendiri. Tiada siapa yang dapat menentukan hidup kita. Kita mentadbir perjalanan hidup kita. Sebagai contoh, kita boleh meletakkan sasaran terhadap keputusan UPSR, PMR mahupun SPM.




HARI GRADUASI..BERJAYA MENGGENGGAM SEGULUNG IJAZAH SETELAH BERHEMPAS PULAS UNTUK MENDAPATKANNYA

Jika kita berusaha insyaAllah kita akan berjaya mengecapnya. Kita mempunyai pilihan untuk mentadbir (memutuskan):

- Dengan siapa kita berkawan

- Memilih untuk belajar dalam sesuatu jurusan

- Makanan dan minuman yang menjadi pilihan kita

- Meminati sesuatu genre muzik

Contoh di atas mungkin empat daripada berjuta-juta atau bilion dan mungkin juga trilion pilihan yang kita buat dalam kehidupan seharian kita. Tiada siapa dapat melarang pilihan kita. Jika dilarang sekalipun sekiranya kita nekad, jawapannya tetap sama, “its in your hand” sama seperti tema rangkaian telekomunikasi terkenal, CELCOM.

Jelas sekali, manusia mentadbir kehidupannya. Kita diberi pilihan untuk mencorak hidup kita, merancang dan melaksanakan sesuatu.

“Aku tak pandai, aku tak boleh jadi macam kau”, jelas Zali.

“Kenapa kau cakap macam tu?”, soal Remy

“Yela, tiap kali ujian kau dapat markah tinggi, tapi aku nak lulus pun susah”, terang Zali.

Benarkah pernyataan tersebut?
Ada dua kemungkinan, satu ialah empunya badan kurang berusaha. Pernah anda mendengar cerita atau terbaca mengenai batu yang menjadi lekuk apabila setiap masa air menitis ke atasnya. Lama-kelamaan batu yang keras menjadi lekuk dek titisan air yang terus-terusan menitik. Titisan itu walaupun tidak kuat tetapi tahap konsistensi yang sangat tinggi menghasilkan lekuk pada batu. Begitu jugalah usaha manusia, sedikit demi sedikit.



TITISAN AIR MENGHASILKAN LEKUK PADA BATU YANG KERAS PADA SIFATNYA..MANUSIA YANG SANGGUP BERUSAHA SEPERTI AIR INSYAALAH PASTI BERJAYA.

Jarang kita mendengar seorang anak kecil boleh membaca tanpa perlu belajar. Bermula dari mengenal huruf, mengeja barulah anak itu dapat membaca, membaca yang pada mulanya gagap dan tersangkut-sangkut sehinggalah boleh membaca dengan kuat dan lantang.

Kedua ialah mungkin usaha tersebut belum dimakbulkan Allah. Kita manusia hanya mampu merancang. Segala di tangan Allah yang menentukan segalanya. Kadang-kadang kita berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara yang tetapi kita masih belum mengecap kejayaan. Perkara yang diusahakan masih belum diperkenan Allah lalu usaha kita tidak berjaya.

Jangan pernah rasa sesal atau berputus asa. Sentiasa ingat segala apa yang kita usahakan adalah di dalam ruang lingkup kekuasaan Allah. Tidak ada suatu pun yang terlepas. Tawakal dan doa seharusnya menjadi pegangan. Apabila sudah berusaha, berdoa dan bertawakal agar segala yang diusahakan dipermudahkan Allah. Usaha tangga kejayaan, tanpa usaha impian dan kenyataan tak akan jadi kenyataan. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.


TADBIR HIDUP KITA, BERUSAHA UNTUK SESUATU SEOLAH-SEOLAH KITA AKAN HIDUP SELAMANYA...SEMBAHYANGLAH SEOLAH-OLAH ITU SOLAT TERAKHIR KITA


No comments:

Post a Comment