21 April 2009

“Apa senyum-senyum?” bentak seorang gadis yang rimas apabila diganggu seorang pemuda semasa menunggu bas.

“Ai, senyum pun salahke?”

“Bukan saya buat apa pun” ujar pemuda tersebut.

“Lagipun senyumkan sedekah”, seloroh pemuda itu sambil tersengih.

Dengan muka yang masam, wanita tadi berlalu dan meninggalkan perhentian bas tersebut kerana kebetulan bas tiba.

Pemuda tersebut menggeleng kepala dek perlakuan gadis tersebut. Salahke senyum?? Bukan nak mengurat pun.. Cukup sekadar senyum. Monolog pemuda itu sendirian.




courtesy of: youtube.com

hak milik: jawabosan.blogspot.com



Senyuman, satu ekspresi yang terpancar di wajah kita yang memberikan makna yang positif. Positif kepada yang melakukannya dan juga merangsang pihak yang memandangnya. Senyuman adalah “body language” di mana pertuturan tidak berlaku, cukup dengan satu ekspresi yang mempunyai makna yang sangat mendalam.

Kata orang, senyum itu awet muda. Ini benar kerana apabila anda senyum urat di muka anda kendur dan otot di muka anda juga kendur. Cuba bayangkan ketika anda marah atau muka anda masam. Secara automatik, kulit muka anda menegang otot di muka anda akan bekerja mengiringi kemarahan anda. Sekarang pilihlah antara senyum atau bermasam muka. Mana satu pilihan anda?

Senyum sangat membantu dalam sesuatu situasi seperti apabila anda hendak memulakan perkenalan atau menegur seseorang. Senyum dahulu kemudian baru anda tegur orang tersebut. Maka terjadilah proses perkenalan tersebut. Atau mungkin apabila anda memujuk seseorang, contohnya apabila anak sedih apabila tidak dapat melakukan sesuatu setelah beberapa kali mencuba, cukup dengan senyum dapat memulihkan semangat anak tersebut dan ucapan “cuba lagi” sudah cukup untuk menghilangkan resah si kecil.

Senyuman adalah sesuatu yang sangat universal, ke mana saja anda pergi di dunia ini manusia mengerti dan faham ekspresi yang cuba anda tonjolkan di sebalik perbuatan anda. Tidak perlu ucapan atau kata-kata, cukup dengan satu perbuatan dapat meluruhkan jiwa yang kesah, melupakan sementara masalah yang ada, membuat orang gembira.

“Action speaks louder than words”, mungkin ini bertepatan kerana dengan sedikit mimik muka dan ekpresi sudah memadai tanpa perlu bersuara. Sesuatu yang sangat mudah bukan? Hanya mengambil masa beberapa saat untuk melakukan. Perkara yang benar-benar mudah dilakukan.

Orang cakap senyum itu sedekah. Di mana datangnya sedekah? Dari ekspresi yang dipancarkan kepada seseorang maka terhasillah perkongsian emosi tersebut. Perkongsian yang membawa 1001 makna kepada seseorang, menggembirakannya, menghilangkan kegusaran yang timbul dan pelbagai lagi contoh yang tidak perlu dijelaskan.

“Dunia dah maju, zaman dah berubah” motto akhbar Berita Harian, sesuai sekali dengan sikap dan perlakuan manusia masa kini. Sikap manusia yang rakus mengejar duniawi, sesuatu yang tidak kekal hingga melupakan adab ketimuran kita, yang tidak mengendahkan orang lain. Mementingkan diri sendiri.

Di era “dog eat dog” ini, manusia sentiasa memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Mengutamakan diri dan jika bernasib baik mungkin terselit sedikit mengenai orang lain. Jika tidak, dalam benaknya hanya ada dirinya dan orang yang mempunyai kepentingan kepadanya. Orang lain diabaikan, dibiarkan tersisih sehingga melakukan sesuatu yang sangat mudah diabaikan iaitu “senyum”.

Jika dulu anda boleh lihat orang di sekeliling anda mudah tersenyum dan sering membalas senyuman anda tapi tidak sekarang. Hendak melihat orang senyum sangat susah, seolah-seolah senyum memerlukan bayaran. Takkan nak senyum kena bayar macam masuk tandas!! Sekali senyum kena cas 20 sen.

Kenapa mesti sombong dan mahal dengan senyuman? Jika Allah mengenakan bayaran untuk setiap Oksigen yang kita sedut sudah pasti kita tidak dapat membayarnya.

Ingatlah senyuman itu sedekah, sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kita yang membawa kepada pahala. Tidak susah, hanya sepantas kiraan satu, dua dan tiga, kita sudah mampu mengukir senyum. Senyuman yang dapat mengubah dunia..

-SENYUM SOKMO-

No comments:

Post a Comment