14 July 2009

.....MaLaS.....

SELAMAT SEJAHTERA KE ATAS KAMU

Mim Alif Lam Sin (MALAS)

Penyakit yang sangat bahaya..Lebih bahaya dari H1N1..Lebih parah dari AIDS..

Mim Alif Lam Sin punca kegagalan

Mim Alif Lam Sin punca kejatuhan

Mim Alif Lam Sin punca kesedihan

Semua itu berpunca dari perkataan tersebut yang kita sematkan dalam diri kita

Kita malas untuk mengatur hidup membawa kita kepada kegagalan untuk merancang dan akhirnya kita merancang untuk gagal

Kita malas belajar nescaya kita merancang untuk menyusahkan hidup kita di kemudian hari kelak

Kita malas untuk beribadah maka akan tibalah hari pembalasan di mana kita ditimpa azab seksa sebagaimana yang dijanjikan Pencipta kita.

Semua orang mengidap penyakit ini..Sakit yang tiada ubatnya melainkan dengan usaha diri sendiri.

Bebelan seorang ibu tidak dapat membuat anaknya berubah untuk menjadi rajin

Peringatan seorang guru tidak bisa menjadikan seorang pelajar itu rajin

Pesanan seorang ustaz belum tentu mengubah seseorang itu menjadi rajin


SEHINGGA KE HARI INI MASIH TIADA LAGI VAKSIN ATAU FORMULA UNTUK MERAWAT SINDROM MALAS


MALAS VS RAJIN

Penawar atau vaksin kepada penyakit Mim ALif Lam Sin (malas) ini hanyalah Ra ALif Jin Nun (rajin).

Kadangkala manusia akan berubah menjadi rajin bila terdesak, terpaksa, tersedar.. Kerana apa?

Kerana apabila seseorang itu terpaksa, contohnya menyiapkan kerja rumah ataupun tugasan maka rajinlah mereka ini. Jika tidak disiapkan nescaya menempah kesusahan seperti dirotan, ditolak markah dan mungkin membawa kepada gagal dalam peperiksaan

Tatkala seseorang itu tersedar, tersedar dari satu lamunan yang panjang dan membawa keinsafan selepas kealpaan diri mengundang keburukan kepada empunya diri maka akan tercetuslah revolusi dari malas kepada rajin. Keajaiban yang berlaku kepada kebanyakan kita yang tersedar selepas terhantuk.

Kita terdesak, maka proses tranformasi dari malas kepada rajin juga berlaku. Contoh yang paling mudah ialah pabila perut lapar dan perlu segera diisi. Diri yang malas ini terkadang berubah kepada rajin bagi mengisi perut yang ber”okestra” kerana terpaksa menyiapkan makanan untuk diri sendiri walaupun kadangkala cukuplah sekadar dua keping roti yang disapu mentega kacang.

Malas tidak membawa sebarang kebaikan kepada diri malahan menjadikan kita lebih teruk. Akan tetapi malas merajai setiap di hati kita dan ini menjadikan kita manusia yang suka berlengah serta penuh dengan alasan. Syaitan menggemari orang yang malas kerana kita mudah dipujuk supaya mengabaikan tanggungjawab kita, kewajipan yang perlu kita tunaikan kepada Rabbul Jalil yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun. Cubalah belajar untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Mungkin akan datan kesedaran kepada kita untuk berusaha untuk seorang yang rajin. Tidak salah mencuba ke arah kebaikan kerana setiap perkara yang baik walaupun dengan niat saja sudah mendatangkan pahala.. InsyaAllah.

“MALAS..suatu yang tiada penghujungnya. Terpulang kepada diri untuk mengubah itu semua”

06 July 2009

MUNGKIN YA…MUNGKIN TIDAK

ASSALAMUALAIKUM

Mungkin pelik bagi anda melihatnya tetapi situasi ini benar-benar berlaku:

- Seorang wanita mengenakan purdah tatkala dia keluar bersiar-siar,

Tetapi anda tidak pelik melihat seorang wanita yang mendedahkan auratnya

Mungkin anda akan tertanya-tanya jika:

- Seorang lelaki berkain pelikat ke pusat membeli belah,

Tetapi menjadi lumrah melihat seorang lelaki memakai “short” pabila melepak

Mungkin anda tidak hairan apabila:

- Lelaki atau wanita mewarnakan rambutnya

Tetapi anda mungkin menggaru kepala melihat kumpulan orang yang berserban (tabligh) bertandang ke rumah anda

Mungkin anda tidak kisah sekiranya:

- Rakan anda bercerita perihal orang lain (mengumpat)

Tetapi anda pasti gusar sekiranya tiba-tiba rakan tersebut bercerita tentang akhirat dan kematian

Mungkin anda akan mentertawakan:

- Sepasang lelaki Bangladesh berjalan berpimpin tangan

Tetapi anda selesa bila melihat sepasang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim jalan berpimpin tangan

Jika diteliti situasi tersebut dengan mata hati dan akal, mungkin anda baru terperasan di mana anda sebenarnya. Mungkin anda pernah terlihat situasi ini? Anda sendiri pernah menjadi golongan ini? Sama-sama kita renungkan dan fikirkan. Kadang-kadang kita terlepas pandang perkara ini atau kita mengambil remeh maka kita terlupa apa yang betul dan apa yang salah. Lalu timbullah perkara seperti contoh tersebut. Kita semacam lali dengan perkara yang salah dan menjadi hairan melihat orang melakukan perkara yang pada kita janggal tetapi sebenarnya itu sesuatu yang betul.

Dari mana datangnya semua ini, sebuah kotak yang bisa mengeluarkan gambar dan suara yang dipanggil televisyen. Televisyen cukup penting dalam kehidupan kita. Sangat penting kerana kita bisa memperolehi pelbagai input yang mendatangkan manfaat kepada kita. Begitu juga dengan pengaruh yang kurang elok sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Cara berpakaian, gaya hidup, pertuturan dan pelbagai lagi aspek dalam kehidupan seharian kita.

Di mana silapnya ini semua? Mungkin ada yang sedar dan ada yang tidak kita sebenarnya telah dijajah. Dijajah dari segi apa kerana negara kita bebas merdeka? Tanpa kita sedari sebenarnya minda kita dijajah kerana kita sudah lali dengan perkara-perkara tersebut akibat disumbat serta dihidangkan rancangan-rancangan yang berunsurkan cara hidup orang Barat. Rancangan tv di Malaysia juga mengalami perubahan yang semakin terikut-ikut dengan arus perdana yang menghidangkan rancangan dari genre yang sama.

BERFIKIR DENGAN AKAL YANG WARAS MENGHASILKAN JAWAPAN YANG BERNAS

Bezanya di Malaysia, agak bertapis kerana kita punya sesuatu yang dipanggil “adab ketimuran” yang jika dilihat sebenarnya hanya tinggal pada nama. Terdapat juga lembaga penapisan seperti FINAS yang menapis agar tidak keterlaluan. Natijahnya tetap sama. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Di mana kita berdiri sebenarnya? Kekadang kita terikut-ikut dengan cuba mengamalkan apa yang diperolehi dari televisyen dan mungkin juga berada di tengah-tengah kerana kewarasan akal kita yang dapat menapis perkara yang baik dan buruk. Itu terpulang kepada kita kerana semua itu datang dari kita, melalui keputusan kita.

Begitu juga dengan jaringan internet. Semuanya di hujung jari. Dengan satu klik informasi dekat dengan kita. Kita yang memilih untuk menggunakan itu ke arah kebaikan atau keburukan. Semua inilah yang mempengaruhi kita. Kita sendiri sedar, yang kita sangat mudah terpengaruh dengan perkara negatif berbanding positif. Sungguh sukar kerana minda yang dipupuk dengan perkara negatif sejak dari kecil lagi. Ditambah pula dengan hasutan si “dia” yang sangat gemar kita melakukan keburukan yang menjerumus kepada maksiat. Terpulanglah kepada diri untuk memilihnya. Kita punya pilihan untuk memilih. Pilihlah sebijaknya kerana setiap pilihan mendatangkan kesan. InsyaAllah.

Meminjam kata-kata Nabil, si Raja Lawak,

“ Lu orang ada mulut, lu orang diam..Lu orang ada mata, lu orang tengok..

Lu orang ada otak, lu orang fikirlah sendiri ”

01 July 2009

BUKAN SUSAH NAK SUSAH..BUKAN SENANG NAK SENANG




SALAM SEJAHTERA KE ATAS KAMU

Hidup ini ibarat roda. Putaran itu akan membuatkan kita berada di atas dan di bawah. Atas bermakna kita berada pada satu tahap yang hebat, terbaik, bagus dan senang manakala bawah menyampaikan maksud kita dalam keadaan yang kurang elok, merosot dan susah. Tidak boleh dijangka bila kita akan susah kerana dengan sekelip mata saja kita boleh terlibat dengan satu masalah yang besar dan begitu juga sebaliknya. Jika kita terpijak durian runtuh, maka senanglah kita.

Tetapi itu semua sesuatu yang kita tidak dapat pastikan. Andai kita berusaha insyaAllah kemenangan milik kita. Kemenangan di sini bermaksud, kejayaan dan kesenangan yang dikecapi. Dari mana datangnya semua ini adalah melalui usaha yang berterusan tanpa putus asa. Usaha yang berterusan tanpa rasa jemu. Bukan senang nak senang. Mungkin anda pernah dengar pernyataan ini.

Benarkah bukan senang nak senang? Jika dilihat diri anda sekarang, pencapaian anda yang telah anda kecapi adalah hasil dari usaha anda. Jika anda tidak berusaha kebarangkalian anda untuk berjaya amat tipis. Anda berusaha keras untuk berjaya. Tanyalah orang-orang kaya di luar sana dan orang-orang yang berjaya. Mereka asalnya orang biasa. Orang biasa yang mempunyai keazaman yang luar biasa untuk berusaha keras untuk merealisasikan impian mereka. Mereka ini bekerja keras, membanting tulang dan tidak kenal erti perkataan mengalaha. Hasilnya, lahirlah insan yang sedemikian rupa. Nah, inilah yang dikatakan bukan senang nak senang.

PIRAMID..SALAH SATU DARI KEAJAIBAN DUNIA..PIRAMID TIDAK DIBINA DALAM MASA SEHARI...BERTAHUN MASA DIAMBIL UNTUK MENYIAPKANNYA..HASIL DARI KESUSAHAN RAKYATNYA MAKA TERHASILLAH PIRAMID INI.

HASIL DARI KESUSAHAN TERHASILLAH SEBUAH KEJAYAAN

Akan tetapi jika ada kesenangan, berada dalam keadaan yang selesa, dilimpahi rezki dari Allah serta cemerlang dalam pelajaran seringkali kita akan lupa dan lalai. Contohnya, kita membazir dengan menggunakan wang dengan tidak sepatutnya. Kita seorang pelajar yang cemerlang tetapi kita lupa dan menjadi malas. Kita kurang berusaha dan mengakibatkan keputusan peperiksaan merosot. Contoh yang paling mudah ialah gigi kita. Kita diajar untuk membersihkan supaya gigi kita sihat, kekal dan bebas daripada penyakit. Jika kita mengabaikan kebersihan gigi maka gigi akan rosak, berlubang dan hingga ke tahap perlu dicabut! Sudah tentu kita tidak mahu perkara tersebut berlaku. Dek kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Inilah yang dikatakan bukan susah nak susah. Jika kita tidak mengekalkan apa yang kita ada nescaya dengan mudah semuanya akan hilang. Nikmat yang dikurniakan akan ditarik. Sangat mudah untuk menjadi susah tetapi sangat susah untuk menjadi senang. Justeru itu, kita perlu mengekalkan apa yang kita ada. Usahlah terlalu cepat berpuas hati dengan sesuatu milik kita. Sentiasa ingat hidup kita umpama roda yang tidak tetap posisinya. InsyaAllah, jika kita berusaha dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan ianya akan kekal. Sesuatu yang kita usahakan dengan kemampuan diri kita pasti terasa berharga bila kita berjaya mengecapinya. Sentiasa tanamkan perasaan ini maka keazaman kita untuk mengekalkan sesuatu milik kita pasti tinggi.

Tentukan hidup kita hari ini kerana apa yang kita usahakan hari ini bakal menentukan hidup kita hari esok, lusa, tulat dan hari-hari seterusnya.

09 June 2009

INI BUKAN CUBAAN...INI BETUL-BETUL

SALAM SEJAHTERA

KEMALANGAN...SATU CARA DI MANA MANUSIA DI UJI

Ujian..semua itu perlu

Manusia diuji dengan 1001 jenis ujian seperti kesakitan, kemalangan, kehilangan dan pelbagai lagi cubaan yang dikenakan ke atas kita oleh yang Maha Esa. Segala bentuk ujian ini datang tanpa kita sedari. Ada manusia yang menerima segala dugaan yang datang dengan hati terbuka manakala sebahagian dari kita tidak dapat menerimanya. Hal ini mungkin kerana ujian yang menimpa terlalu berat untuk diterima.


Mujur manusia dikurniai sifat lupa kerana lupa ini menghilangkan perasan sewaktu pertama kali diuji. Walaupun tidak melupakan sesuatu peristiwa seperti kematian sepenuhnya namun perasaan sedih itu berkurangan. Jika tidak manusia akan sentiasa bermurung dan bersedih. Rasa sedih tetap ada akan tetapi perasaan itu telah berkurangan tidak seperti kali pertama ditimpa peristiwa tersebut.

Allah menguji dan manusia teruji, satu konsep di mana keimanan manusia itu diuji. Seringkali kita mendengar, “Semua perkara yang berlaku ada hikmah”. Sejauh mana kebenaran pernyataan tersebut? Adakah benar atau sebaliknya? Dapatkah anda menerima dugaan yang datang dengan hati terbuka? Bersabarkah anda dengan musibah yang melanda diri anda? Adakah anda menjalankan tugas anda sebagai khalifah di muka bumi ini?

Soalan tersebut jika dikupas satu persatu pasti jawapan yang diperolehi mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Adakah benar pernyataan “semua perkara yang berlaku ada hikmah”? Hal ini boleh diperjelas dengan mengambil contoh sekecil hidupan nyamuk. Nyamuk yang terkenal dengan pembawa virus seperti denggi juga mempunyai kelebihannya. Sebagai contoh, kawasan air bertakung dan saluran air tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk. Jika manusia prihatin sudah pasti kawasan seperti ini tidak wujud kerana kebersihan adalah sebahagian dari iman. Jika kawasan persekitaran kita bersih maka nyamuk tidak dapat membiak. Lalu kuranglah penyakit berbahaya tersebut. Pengajarannya ialah, jadilah manusia yang mementingkan kebersihan kerana dari situ pelbagai perkara yang mendatangkan kemudaratan dapat dielakkan. Bukankah itu satu kebaikan atau dikenali sebagai hikmah?


NYAMUK..SERANGGA YANG MENGUNDANG MASALAH KEPADA MANUSIA

Kedua, dapatkah kita menerima ujian dengan hati terbuka atau sebaliknya? Allah menguji sesiapa saja yang dikehendaki. Tidak kira orang itu kaya, miskin, sihat mahupun sakit. Sebenarnya ujian adalah medan di mana jati diri dan keimanan kita diuji. Tatkala diuji iman yang berperanan kerana ada manusia yang akan berubah menjadi seorang yang lebih baik kerana redha dengan ujian tersebut. Ada juga yang tidak dapat menerima dan menyifatkan sesuatu itu sebagai musibah dan tidak sama sekali menerimanya sebagai ujian dari Maha Agung.

Kesabaran, perkara yang sangat subjektif kerana setiap orang punyai tahap kesabaran yang berbeza. Sesetengah orang tatkala diuji mereka begitu sabar dan menghadapi perkara tersebut dengan tenang. Lihat junjungan kita Rasulullah S.A.W. Kesabaran baginda jelas kerana sepanjang tempoh berdakwah di Mekah baginda diuji namun semangatnya tidak pernah luntur. Tetapi kita, kadangkala diuji dengan perkara yang kecil tidak mampu menahannya, marah-marah, terlalu bersedih dan pelbagai lagi cara untuk menggambarkan perasaan ketika itu. Tidak salah tapi ingatlah semua yang datang, semua yang berlaku itu datangya dari Allah.

Kita dilantik sebagai khalifah di bumi ini untuk memakmurkan bumi Tuhan dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai hambaNya. Sedar atau tidak ramai di antara kita yang tidak menjalankan tanggungjawab itu. Menunaikan lima rukun Islam dan enam rukun Iman terlalu berat untuk kita laksanakan. Apabila tanggungjawab yang diamanahkan itu diabaikan dan tidak dijalankan dengan sempurna maka Allah akan menguji. Manusia sentiasa lupa. Ada manusia yang bila diuji baru ingat kepada Allah. Timbul rasa insaf. Jika tidak solat entah ke mana. Puasa dan zakat? Apatah lagi menunaikan haji. Satu soalan untuk saya dan semua, “Wajarkah kita diuji dek kerana kealpaan dan kelalaian kita menunaikan kewajipan kita?” Sama-samalah kita renungkan dan cari jawapan untuk soalan tersebut. Di mana kita berdiri sebenarnya dalam hidup yang penuh dugaan dan pancaroba ini.

“Sabar, Redha, Istiqamah, Muhasabah..Mungkin ini boleh menjadikan kita tenang di kala ujian melanda…InsyaAllah”

KITA DAN CARA KITA BERPAKAIAN

ASSALAMUALAIKUM W.B.T

“Wah, bukan main wangi lagi kau Man”, tegur si Abu apabila hidungnya mengesan bau haruman dari sahabtnya itu.

“Ala..biasala jumpa awek kenala wangi-wangi”, jawap Seman sambil bersiul-siul.

“Tebal betul mekap u Jue”, usik Sally apabila melihat Jue mengenakan mekap yang tebal semasa sedang bersiap.

“Mestila, nak jumpa cik abang kita”, Jue tersenyum meleret.

Sudah fitrah manusia yang inginkan sesuatu yang cantik, wangi, kemas dan segala perkara yang baik. Tanyalah sesiapa saja, jawapan mereka pasti sama seperti contoh yang dikemukakan. Apabila keluar bekerja, belajar, makan angin dan sebagainya, manusia akan melaram, cuba melaram menggayakan pakaian yang menepati citarasa mereka.

Lihat saja di pusat membeli belah pada hari minggu, remaja menggayakan pelbagai jenis pakaian bersesuaian dengan aliran yang mereka bawa, bertepatan dengan halwa mereka dan memenuhi kehendak dan citarasa mereka. Golongan ini sanggup berhabis hingga ratusan ringgit asalkan mereka dapat bergaya seperti yang mereka idamkan.

Jika dilihat pada hari bekerja orang yang mengenakan pakaian seperti baju kurung, blaus, kemeja dan slack dan pelbagai lagi beserta dengan warna-warna yang cantik dan bertepatan dengan etika pemakaian yang menjadi garis panduan mereka.

CANTIK, KEMAS, BERGAYA

Mereka ini nampak segak dan cantik dek kerana rupa yang dikurniakan serta cara pemakaian yang menambah lagi seri di wajah mereka. Jika berpakaian selekeh ke tempat kerja sudah tentu orang memandang serong kepada kita dengan menganggap kita pekerja kolar biru walhal kita sebenarnya pekerja kolar putih! Sudah pasti kita tidak senang dengan situasi ini.

Tetapi satu perkara yang kita mungkin terlepas pandang ialah apabila kita hendak bertemu pencipta kita. Bagaimana agaknya cara pemakaian kita? Mengikut dari pemerhatian saya, orang akan berpakaian ala kadar apabila menunaikan solat! Bagi yang lelaki ada yang bersinglet dan ada juga yang tidak berpakaian semasa bersolat. Sekadar kain yang menutup bahagian pusat sehingga ke lutut. Yang perempuan tidak pula diketahui kerana tidak mempunyai peluang untuk melakukan pemerhatian.

Memang dalam Islam tidak salah etika pemakaian itu, cukup sekadar menutup aurat dari bahagian pusat hingga ke lutut bagi lelaki dan semua bahagian kecuali bahagian muka bagi perempuan apabila mengenakan telekung.

Dengan berpakaian ala kadar mengadap Rabbul Jalil, adakah anda rasa anda telah berlaku adil kepada pencipta anda? Jika anda sanggup menghabiskan setengah botol minyak wangi semata-mata untuk berjumpa kekasih hati, berpakaian kemas pabila bekerja dan menggayakan fesyen yang hampir menyamai artis barat, mengapa tidak melakukan cara yang serupa bila berhadapan dengan Allah?

BUKANKAH LEBIH BAGUS PABILA MENUNAIKAN SOLAT KITA MEMAKAI SEDIKIT HARUMAN DAN BERPAKAIAN KEMAS

Berpakaian ala kadar bila menunaikan solat walhal anda mengenakan pakaian yang cantik-cantik bagi agenda yang lain, anda semacam tidak adil terhadap Pencipta. Pernah ada seorang ustazah berpesan, “Cuba kalau solat, berpakaian seperti hendak keluar berjalan. Ini tak, kalau berjalan pakai cantik-cantik tapi bila solat pakai ala kadar je”. Nah, ini baru betul! Anda mengenakan wangian semasa bersolat, mengenakan pakaian yang bersih dan cantik bagi lelaki dan telekung yang bersih lagi harum bagi wanita. Bukankah ini lebih bagus?

Anda selesa tatkala mengangkat takbiratul ihram sehingga mengucapkan salam. Anda menunaikan hak anda kepada Allah. Anda telah berlaku adil kepada diri sendiri. Sesungguhnya Allah itu maha adil, maha penyayang dan maha pengampun. Lahirkanlah rasa syukur itu melalui solat yang didirikan bersama dengan etika pakaian yang boleh menambahkan lagi rasa syukur itu. Segala yang ada di dunia ini milikNya jadi janganlah berkira dalam melakukan kebaikan. Jika ditarik nikmat, nescaya anda rugi.

“Solat itu tiang agama. Sempurna solat sempurnalah iman kita, InsyaAllah”

Bersama-sama mencari keredhaan Allah

KENAPA

SALAM

Maaf kerana sudah lama tidak menambah entri di dangdangdut..Dek kerana

ketiadaan masa yang sibuk menguruskan urusan ayah bonda sementelahan mereka

menunaikan ibadah umrah.. Ditambah pula dengan ketiadaan jaringan internet di

kampung halaman..Kerana juga ujian di mana buah hati (komputer riba) yang dicuri

semasa tiada di rumah sewa baru-baru ini. Allah menguji dan saya teruji.

Perkara-perkara yang melanda melambatkan usaha untuk saya menghasilkan entri

baru..InsyaAllah jika tiada aral melintang akan ku gagahkan diri untuk terus

berkongsi

BERKONGSI UNTUK SESUATU YANG BAIK..INSYAALLAH